Facebook dan Instagram Didapati Melanggar Akta Anti Ketagihan Media Sosial Eropah
Effi Saharudin
Meta berhadapan satu lagi tindakan undang-undang melibatkan rekaan aplikasi yang didakwa menyebabkan ketagihan media sosial. Kali ini Suruhanjaya Eropah (EC) mendapati dua aplikasi Meta ini telah melanggar akta Akta Perkhidmatan Digital (DSA).
Ciri seperti tatalan skrin tanpa henti, notifikasi pada peranti dan sistem yang menyarankan kandungan yang diperibadikan kepada pengguna didakwa mendorong pengguna terus menatal aplikasi tanpa henti. EC turut menyatakan Meta tidak menilai risiko terhadap kesejahteraan fizikal dan mental pengguna termasuk remaja dan golongan rentan.

Reels dan Stories misalnya didakwa mengabaikan data penggunaan waktu malam oleh remaja serta meningkatkan penggunaan berlebihan. Tambah EC lagi, alat pengurusan masa dan kawalan ibu bapa dianggap tidak berkesan, mudah diketepikan, dan memerlukan kemahiran teknikal tinggi untuk digunakan dengan betul.
EC telah mencadangkan Meta perlu mematikan ciri video dimainkan secara automatik dan menatal tanpa henti secara lalai. Mereka juga disarankan menyediakan waktu berehat melihat skrin dan menjadikan sistem cadangan kurang memberikan kepentingan untuk meningkat interaksi.
Meta kini boleh membela diri. Sekiranya pandangan EC disahkan, Meta boleh dikenakan denda sehingga 6% daripada pendapatan global tahunan .
Ia sebuah lagi kes besar melanda Meta tahun ini. Sejak kalah dalam perbicaraan platform mereka menyebabkan ketagihan dalam kalangan pengguna bawah umur di Texas awal tahun ini, mereka kini berhadapan sama pula daripada California, Colorado, Kentucky, dan New Jersey yang menuntut penalti mencecah $1.4 trilion (~RM 5.71 trilion).