Indonesia Menguji Sistem Siaran TV Menggunakan Teknologi 5G Broadcast
Effi Saharudin
Teknologi 5G dipasarkan sebagai rangkaian terpantas untuk menstrim kandungan, memuat turun/naik fail besar, menguasakan sistem robotik dan juga menjadikan akses kecerdasan buatan (AI) tanpa masa pendam. Tetapi ramai mungkin tidak menyedari ia juga boleh digunakan untuk siaran TV menerusi 5G Broadcast.

Minggu lalu Televisi Republik Indonesia (TVRI) memulakan ujian teknologi 5G Broadcast di Jakarta bersama Kementerian Komunikasi dan Digital (KOMDIG)I dan Rohde & Schwarz. Ujian ini dilakukan bagi tujuan memodenkan ekosistem penyiaran di Indonesia dan mengukuhkan capaian maklumat awam di era digital.
Dengan 5G Broadcast, siaran TV TVRI boleh ditonton menggunakan sebarang peranti yang menyokong rangkaian 5G. Ia tidak memerlukan SIM atau langganan data internet 5G dengan siaran TVRI boleh ditonton secara percuma seperti sebuah TV biasa serta tanpa pemasangan antena tambahan seperti diperlukan teknologi DVB‑T2. 5G Broadcast membolehkan penghantaran data kepada jutaan peranti serentak yang berguna untuk komunikasi kecemasan ketika trafik internet meningkat, seperti bencana alam .
KOMDIGI mengatakan 5G Broadcast melengkapkan dan bukan menggantikan DVB‑T2 sebagai tulang belakang penyiaran nasional kerana liputannya yang lebih meluas berbanding 5G Broadcast.
Selain di Indonesia, 5G Broacast turut telah diuji di Amerika Syarikat, Jerman, Sepanyol dan Perancis. Di Perancis misalnya, Télédiffusion de France (TDF) telah menguji siaran menggunakan 5G Broacast sejak acara Sukan Olimpik Paris 2024.