Fungsi Search Windows 11 Kini Memfokuskan Pada Fail Tersimpan Dalam PC
Effi Saharudin
Microsoft sedang mengemaskini fungsi Search pada Windows 11 dengan ia akhirnya memfokuskan carian fail yang tersimpan dalam PC, membuang paparan iklan, menjadikan paparan lebih jelas, dan meningkatkan ketepatan carian. Search yang lebih berguna ini sudah boleh diuji pengguna Windows Insiders.

Ia adalah perubahan besar kerana sebelum ini pada Windows 11, apabila carian fail dilakukan ia akan kerap memaparkan pautan ke Bing yang langsung tidak membantu pengguna. Dengan fungsi carian baharu ia akhirnya memberikan kepentingan kepada fail dalam PC, tetapan dalam PC dan aplikasi yang sudah terpasang.

Selain itu antaramuka carian juga lebih bersih tanpa paparan iklan, carian web dan produk Windows yang disarankan. Sebuah lagi perubahan besar dilakukan ialah Search akan boleh mencari fail walaupun pengguna melakukan typo. Misalnya mahu mencari Outlook tetapi tersalah taip Utlook dan sistem masih tahu apa sebenarnya perlu dipaparkan.
Ini adalah salah satu daripada inisiatif besar “Windows K2” yang cuba menyelesaikan pelbagai perkara berbangkit yang diutarakan pengguna Windows 11. Microsoft setakat ini telah mengaktifkan ciri melangkau proses melakukan kemas kini semasa PC diaktifkan buat pertama kali dan membenarkan tampan sekuriti dijeda untuk seketika.