Lebih 300 Kandungan Netflix Menggunakan AI Generatif Tahun Ini
Effi Saharudin
Tahun lalu Netflix hanya mendedahkan dua kandungan yang diterbitkan mereka menggunakan kecerdasan buatan (AI) generatif bagi membantu proses produksi. Semalam semasa mengumumkan laporan kewangan terkini, Netflix mendedahkan tahun ini sekitar 300 kandungan menggunakan AI generatif.
Ia digunakan dalam semua peringkat produksi bagi membantu menghasilkan kesan visual kompleks dengan lebih cepat dan murah, tanpa menggantikan peranan kreatif manusia. Tiga kandungan yang didedahkan menggunakannya AI generatif ialah siri Glory dari India, Brasil 70: A Saga do Tri dari Brazil, dan The American Experiment dari Amerika Syarikat. AI generatif menghasilkan adegan peperangan dan menambah jumlah pelakon latar.

Netflix menyatakan GenAI membolehkan output lebih berkualiti, lebih cepat, dan lebih murah berbanding kaedah tradisional. Contoh yang diberikan ialah babak 17 minit dalam The American Experiment dihasilkan dua kali lebih pantas dan pada separuh menggunakan AI berbanding kaedah tradisional.
Syarikat penstriman video berbayar terbesar dunia ini tidak pernah menafikan penggunaan AI dalam produksi mereka dan telah mengambil alih syarikat produksi AI generatif InterPositive milik Ben Affleck pada Mac lalu. Penggunaan AI generatif juga dilakukan di Prime Video serta Disney.
Di Malaysia juga penggunaannya lebih ketara dalam siri TV dan syarikat TV tempatan kerana tidak seperti di Amerika, tiada tentangan serius daripada penggiat seni yang melihatnya sebagai ancaman kepada periuk nasi mereka. Filem AI generatif sepenuhnya pertama yang ditayangkan di pawagam adalah terbitan syarikat Malaysia dan Singapura. Kesan khas filem Abu Si Raksasa dan Duyung: Legenda Aurora turut dihasilkan dengan bantuan AI bagi mengurangkan kos.
Sumber – Variety