Pelancaran NVIDIA GeForce RTX 50 Super Ditangguh Kerana Bekalan Dan Harga Memori GDDR7 Baru
Nazrin
Sebelum ini kami ada melaporkan bahawa NVIDIA kelak akan melancarkan siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 50 Super sebagai kemaskini kepada penawaran siri kad grafik kelas Blackwell mereka. Jangkaannya ialah NVIDIA akan memperkenalkan siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 5080 Super, NVIDIA GeForce RTX 5070 Ti Super dan NVIDIA GeForce RTX 5070 Super.
Kad-kad grafik ini bukan sahaja akan hadir dengan kemaskini kepada cip pemprosesan grafik yang lebih berkuasa, tetapi juga penggunaan memori GDDR7 3GB yang baru, yang menjanjikan jumlah dan kelajuan memori yang lebih tinggi berbanding sebelum ini.
VideoCardz telah melaporkan bahawa secara teknikalnya, cip-cip pemprosesan grafik NVIDIA GeForce RTX 50 Super sudahpun dihantar kepada rakan-rakan pengeluar kad grafik NVIDIA walaupun butiran siapakah gerangan rakan-rakan ini tidak diketahui lagi secara rasmi. Pengeluaran kad-kad grafik tersebut tergendala buat masa ini kerana isu bekalan komponen memori GDDR7 3GB yang diperkatakan.

Seperti yang sedia maklum, bekalan komponen memori kelas GDDR dan HBM memperlihatkan isu bekalan kerana ia digunakan untuk membangunkan komponen-komponen inferens AI dan pusat data dengan fokus terhadap kecerdasan buatan.
Selain daripada bekalan, terdapat juga isu harga komponen memori GDDR7 3GB ini. Apabila dibandingkan dengan memori GDDR7 2GB, tanda harga untuk setiap modul memori baru ini adalah tiga kali lebih mahal berbanding dengan modul yang lebih rendah.
Jangkaan ramai ialah siri kad grafik NVIDIA GeForce RTX 50 Super ini masih akan dilancarkan pada tahun ini, tetapi pengumuman rasmi mengenainya, dan juga tanda harga siri kad grafik ini masih tidak akan diketahui lagi dalam masa terdekat ini.
Sumber: VideoCardz