Samsung Galaxy Z Fold8 Dilancarkan Dengan Skrin Lebar 4:3 dan Android 17 – Harga Bermula RM7299
Amy Maizuraa
Samsung memperkenalkan barisan telefon boleh lipat generasi terbaru pada acara Galaxy Unpacked di London dengan Samsung Galaxy Z Fold8 menjadi antara model yang paling mencuri perhatian. Peranti ini hadir dengan rekaan yang keluar daripada kebiasaan mereka dan disertakan ciri relevan dalam kelasnya bagi menawarkan pilihan ideal kepada pengguna yang mahukan pengalaman telefon lipat yang lebih matang.

Galaxy Z Fold8 menampilkan rekaan yang lebih lebar, sekali gus memberikan pengalaman penggunaan yang lebih selesa sama ada dalam mod telefon atau tablet. Skrin luar menggunakan panel 5.5″ Dynamic AMOLED 2X dengan nisbah 16:10 yang mampu menawarkan paparan yang lebih semula jadi untuk tugasan harian.

Sementara itu, skrin dalam bersaiz 7.6″ Dynamic AMOLED 2X dengan nisbah 4:3 menyediakan ruang tontonan yang lebih luas apabila dibuka menyerupai pengalaman menggunakan sebuah mini tablet. Kedua-dua skrin menyokong 120HZ LTPO, sistem Vision Booster dan HDR10+. Sokongan S Pen sekali lagi tidak disertakan.

Peranti ini dikuasakan oleh cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy dengan padanan memori sehingga 16GB RAM, storan sehingga 1TB. Ia turut menjalankan sistem operasi One UI 9 berasaskan Android 17, yang hadir dengan pelbagai ciri Gemini Intelligence bagi meningkatkan pengalaman penggunaan. Z Fold8, Fold8 Ultra dan Z Flip8 adalah tiga peranti terawal dilancarkan dengan Android 17 secara terbina.

Antara ciri baharu yang diperkenalkan termasuk Now Nudge, yang boleh diakses terus dari skrin utama untuk tindakan lebih pantas serta AI Automation yang membantu pengguna melaksanakan tugasan harian dengan lebih teratur dan efisien. Sokongan kemas kini ialah 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti.

Sistem kamera peranti ini terdiri daripada tetapan dwi‑sensor 50MP sudut lebar dan 50MP sudut ultra lebar, yang direka untuk menghasilkan gambar lebih jelas dalam pelbagai keadaan pencahayaan. Sementara dua kamera swafoto adalah sebesar 10MP terbina pada skrin.
Peranti turut dilengkapi bateri besar 4800 mAh yang menyokong pengecasan pantas 45W berwayar dan 20W nirwayar dengan sokongan berwayar tersebut menjadi peningkatan ketara berbanding standard 25W pada model tahun lalu.

Harga jualan rasmi di Malaysia adalah seperti berikut:
| Model | Harga |
| 12/256 GB | RM 7,299 |
| 12/512 GB | RM 8,099 |
| 16/ 1000 GB | RM 9,699 |
Pratempahan kini dibuka bermula hari ini, dan pelanggan yang layak boleh menikmati pelbagai promosi menarik. Tawaran tersebut merangkumi rebat eksklusif sehingga RM800, Samsung Rewards Points Booster bernilai sehingga RM400, rebat segera RM500 melalui kad bank terpilih serta Samsung Reservation+ Voucher bernilai RM250.
Selain itu, pelanggan turut berpeluang mendapatkan pelan ansuran tanpa faedah sehingga 36 bulan di bank yang mengambil bahagian. Mereka yang membuat pembelian dalam tempoh pratempahan ini juga boleh memperoleh aksesori Samsung Galaxy terpilih dengan potongan harga sehingga 30%, menjadikan keseluruhan tawaran lebih berbaloi untuk dimanfaatkan.