Samsung Galaxy Z Fold8 Ultra Kini Rasmi Dengan Sanpdragon 8 Elite Gen5 dan Android 17 – Harga Mencecah RM10K
Amy Maizuraa
Samsung turut memperkenalkan satu lagi model dalam siri telefon boleh lipat baharu mereka iaitu Samsung Galaxy Z Fold 8 Ultra. Peranti ini merupakan varian paling premium dalam keluarga Fold tahun ini dan disasarkan kepada pengguna yang memerlukan telefon lipat dengan penekanan terhadap produktiviti.

Peranti ini mengekalkan konsep lipatan seperti buku yang digunakan pada model sebelumnya, namun hadir dengan penambahbaikan ketahanan. Ia dilengkapi skrin luar 6.5″ Dynamic AMOLED 2X 120Hz dan skrin dalam 8″ Dynamic AMOLED 2X yang turut menyokong kadar segar semula 120Hz LTPO, Vision Booster serta HDR10+.
Galaxy Z Fold 8 Ultra juga menggunakan engsel Flex Titanium, teknologi baharu yang menurut Samsung menawarkan ketahanan lebih baik serta struktur lipatan yang lebih kukuh. Pada waktu yang sama kesan lipatan kini semakin kurang ketara kerana terdapat lapisan titanium digunakan di bahagian bawah skrin.
Tubuh Z Fold8 Ultra melepasi piawaian kalis air IP48 sementara pengimbas cap jari diletakkan di bahagian sisi pada butang kuasa. Turut disertakan ialah sistem audio stereo dengan Dolby Atmos.

Dari segi prestasi, tunjang utama peranti ini dikuasai oleh cip Snapdragon 8 Elite Gen 5 for Galaxy dengan padanan memori sehingga 16GB RAM, storan sehingga 1TB dan bateri 5000mAh dengan sokongan pengecasan pantas 45W berwayar dan 20W nirwayar. Ini adalah penaiktarafan daripada bateri 4400 mAh dengan pengecasan 25W sahaja pada Z Fold7. Kapasiti bateri Z Fold8 Ultra kini sama besar dengan Galaxy S26 Ultra.
Untuk fotografi, Galaxy Z Fold 8 Ultra hadir dengan sistem tri‑kamera utama yang terdiri daripada sensor 200MP sudut lebar + 50MP sudut ultra lebar + 10MP telefoto. Peningkatan pada kamera 50MP sudut ultra lebar diberikan sebagai penambahbaikan yang menurut Samsung mampu menghasilkan tangkapan gambar lebih baik khususnya dalam keadaan pencahayaan malap. Bagi swafoto, ia menggunakan tetapan dwi‑kamera 10MP + 10MP.

Dengan Android 17 beberapa ciri Gemini Intelligence akan disokong menjadikan Z Fold8 Ultra peranti yang setanding dengan peranti Pixel. Samsung turut menawarkan sokongan kemas kini 7 versi Android dan 7 tahun tampalan sekuriti. Ia turut menjadi pertama dijual dengan Android 17. Sebelum ini Samsung hanya menawarkan versi baharu pada siri Galaxy S terlebih dahulu.

Pratempahan telah dibuka di Malauysia dengan harga jualan adalah seperti berikut dalam pilihan warna Graphite, Cream, Violet Shadow dan Green Shadow.
| Model | Harga |
| 12/256 GB | RM8,099 |
| 12/512 GB | RM8,899 |
| 16/1000 GB | RM10,499 |
Pelanggan yang melakukan pratempahan boleh menikmati pelbagai promosi menarik. Tawaran tersebut merangkumi rebat eksklusif sehingga RM800, Samsung Rewards Points Booster bernilai sehingga RM400, rebat segera RM500 melalui kad bank terpilih serta Samsung Reservation+ Voucher bernilai RM250.
Selain itu, pelanggan turut berpeluang mendapatkan pelan ansuran tanpa faedah sehingga 36 bulan di bank yang mengambil bahagian. Mereka yang membuat pembelian dalam tempoh pratempahan juga boleh memperoleh aksesori Samsung Galaxy terpilih dengan potongan harga sehingga 30% untuk menjadikan keseluruhan tawaran lebih berbaloi untuk dimanfaatkan.