Micron Di Malaysia – Hubungan Simbiosis Dalam Industri Untuk Memacu Kemajuan Sesama Sendiri
Nazrin
Tahukah anda bahawa Micron telah bertapak di Malaysia sejak 2010 dengan pembukaan kilang pengeluaran memori pertama mereka di Muar, Johor. Mereka kemudiannya membuka dua lagi kilang penghasilan komponen memori dan storan di Seberang Perai pada tahun 2018 dan di Batu Kawan pada tahun 2023.
Ada Apa Dengan Micron Di Malaysia
Baru-baru ini kami telah berpeluang untuk menemu-bual Amarjit Sandhu, Timbalan Presiden Korporat, Operasi Pemasangan & Ujian NAND di Micron Technologies untuk bertanya mengapakah operasi mereka di Malaysia sangat penting untuk syarikat tersebut.
Menurut beliau, operasi Micron di Malaysia bergerak sejajar dengan pusat pengeluaran dan penyelidikan dan pembangunan di Singapura. Komponen memori dan storan seperti NAND, SSD, DRAM dan modul-modul memori lain yang dihasilkan di Singapura kemudiannya akan dihantar ke kilang di Muar, Seberang Perai dan Batu Kawan untuk dipakejkan menjadi komponen yang lengkap, dan kemudiannya diuji sebelum ia dihantar kepada pelanggan-pelanggan Micron di seluruh dunia.

Kilang-kilang pemasangan dan ujian di Malaysia ini dilihat sebagai operasi-operasi yang sangat penting untuk Micron kerana ia dilihat bukan sahaja sebagai pusat pengeluaran komponen semata-mata. Ia juga merupakan lokasi dimana komponen-komponen Micron yang paling penting sekarang dipasang dan diuji. Sebagai contoh, modul memori 256GB LPDRAM SOCAMM2 yang hadir dengan penawaran jumlah memori tertinggi dalam satu modul semuanya dipakejkan dan diuji di kilang-kilang Micron Malaysia sebelum ia dihantar kepada pelanggan.
Ini bermakna bahawa kilang-kilang di Malaysia merupakan antara operasi yang menghasilkan komponen-komponen memori paling penting untuk industri AI pada skala global.
Malaysia Sebagai Pemangkin Industri Semikonduktor
Sektor kecerdasan buatan akan senantiasa memerlukan pelbagai jenis komponen semikonduktor, dari cip pemprosesan, storan dan juga memori. Malaysia merupakan pemangkin industri semikonduktor global kerana walaupun sebelum kehadiran Micron, banyak syarikat pembuat semikonduktor yang lain seperti Intel, Infineon dan Texas Instruments juga telah lama bertapak di negara ini.

Industri kecerdasan buatan kini mewujudkan peluang untuk negara-negara seperti Malaysia memajukan lagi nilai rantaian bekalan semikonduktor mereka, bukan sahaja melalui skala pembuatan, tetapi melalui keupayaan bernilai tinggi seperti pemasangan dan pempakejan bertaraf dunia, inovasi kejuruteraan dan pembangunan ekosistem semikondukter baharu.
Micron mengatakan bahawa di masa hadapan kelak, Malaysia berpeluang untuk beralih daripada sekadar hab pembuatan yang dipercayai kepada peranan yang lebih berpengaruh merentasi rantaian nilai AI yang lebih luas.
Perkara ini juga dicanang oleh kerajaan Malaysia melalui Strategi Semikonduktor Kebangsaan yang diperkenalkan pada tahun 2024, dimana sektor semikonduktor tempatan akan memperlihatkan suntikan pelaburan sebanyak RM25 bilion dari pelbagai pihak, untuk melatih seramai 60 ribu jurutera semikonduktor dalam jangka masa lima ke sepuluh tahun untuk meningkatkan jumlah pakar dan sekaligus meningkatkan jumlah syarikat tempatan yang mahir dalam industri ini.
Micron juga akan membantu memacu pertumbuhan ini melalui tiga cara: kepimpinan produk, pembangunan tenaga kerja dan kemampanan industri.

Dari segi kepimpinan produk, operasi Micron di Pulau Pinang dan Muar kini menghasilkan komponen SSD seperti 6600 ION NVMe SSD (245TB) dan modul memori dalam rekabentuk SOCAMM2 yang menyokong beban kerja AI, pengkomputeran awan dan analitik masa nyata.
Hakikatnya, produk kritikal AI yang kini dihasilkan di Malaysia mencerminkan sejauh mana ekosistem pengeluaran dan pempakejan semikonduktor negara telah berkembang. Malaysia hari ini memainkan peranan yang jauh lebih strategik berbanding pembuatan bahagian belakang tradisional sahaja. Apa yang dahulunya merupakan pangkalan pembuatan bahagian belakang telah berkembang menjadi nod kritikal di mana beberapa produk Micron yang paling canggih dan penting dibuat, dari peringkat ujian hinggalah ke pengeluaran penuh. Bukan itu sahaja, tetapi produk-produk ini juga merangkumi seluruh ekonomi digital: pusat data, kenderaan swapandu AI, peranti tepi pintar dan pengalaman pelanggan setiap hari.
Kepentingan Melahirkan Tenaga Kerja Tempatan Berkemahiran
Dari segi pembangunan tenaga kerja pula, Micron Malaysia menggunakan pendekatan yang merangkumi saluran bakat industri dan impak komuniti. Secara dalaman, Micron meningkatkan kemahiran tenaga kerja sedia ada melalui latihan AI berstruktur, program pendidikan dan latihan teknikal vokasional (TVET) dan perkongsian industri-universiti yang mendalam.

Micron Malaysia juga membuat pelaburan dalam memperluaskan akses kepada pendidikan STEM dan kemahiran masa depan merentasi ekosistem teknologi yang berbeza. Bersama-sama dengan Penang Science Cluster, Micron Malaysia menyokong inisiatif pembelajaran secara langsung seperti MakerLabs dan program robotik yang melengkapkan pelajar dari komuniti luar bandar dan kurang bernasib baik dengan pendedahan praktikal kepada kejuruteraan, AI dan reka bentuk digital. Program-program seperti Girls in Engineering and Technology (GET) dan kem latihan robotik, juga membantu memperkukuh keyakinan dan penyertaan dalam kalangan wanita muda yang mengikuti laluan STEM.
Kerjasama Micron Malaysia bersama-sama Biji-Biji Initiative memberi tumpuan kepada merapatkan jurang peluang untuk komuniti kurang mendapat perkhidmatan di Malaysia dengan memperkukuh laluan ke kerjaya STEM dan mewujudkan penyelesaian bersama yang menghubungkan pembangunan kemahiran dengan kebolehpasaran.

Usaha-usaha ini mencerminkan kepercayaan Micron Malaysia bahawa membina tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan AI perlu turut merangkumi komuniti setempat dimana mereka bertapak. Micron Malaysia berada di kedudukan kedua antara organisasi besar dalam senarai sulung Great Place to Work Malaysia 2026, dan ini dilihat mencerminkan budaya kerja dan identiti korporat yang memberi keutamaan kepada komuniti setempat.
Menurut Malaysian Investment Development Authority (MIDA), pada awal 2025, Micron Malaysia dilaporkan menggaji kira-kira 5740 pekerja, dimana 4700 daripada mereka terlibat dalam proses pengilangan memori dan storan.
Peneraju Penggunaan Tenaga Mampan
Dari segi kemampanan operasi, kilang-kilang Micron Malaysia menggunakan 100 peratus sumber tenaga elektrik yang boleh diperbaharui melalui kerjasama denganTenaga Nasional, mengelakkan kira-kira 170,000 tan metrik pelepasan karbon setiap tahun, bersamaan dengan penyingkiran 35,000 kenderaan dari jalan raya.
Tambahan kepada itu, Micron Malaysia menghasilkan kira-kira 40 megawatt (MWp) tenaga bebas karbon melalui ladang solar di Manjung, Perak dan Kulim, Kedah dan telah memasang panel solar di atas bumbung bangunan-bangunan mereka, menghasilkan 10MWp lagi tenaga elektrik bebas karbon.
Melalui kerjasama program kuasa hijau korporat (CGPP) diantara Micron Malaysia dengan Solarvest dan TNB Renewables, output tenaga elektrik lestari solar yang dijana adalah setinggi 109 MW dan kini menguasakan kesemua kilang-kilang Micron di Malaysia.

Pencapaian ini penting kerana pembuatan berskala AI memerlukan infrastruktur tenaga lestari berskala AI yang sepadan dengan pengeluaran komponen di kilang-kilang ini. Micron Malaysia juga telah bekerjasama dengan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) melalui inisiatif pemulihan air bernilai RM5.9 juta untuk membantu memulihkan kira-kira 3.3 juta meter padu air setiap tahun di Pulau Pinang.
Mereka juga bekerjasama dengan Resilient Cities Network melalui Micron Foundation untuk mereka bentuk, membangunkan dan melaksanakan program daya tahan untuk Pulau Pinang. Ini akan memajukan penyesuaian bandar terhadap risiko alam sekitar dan sosioekonomi.
Usaha-usaha sebegini penting kerana syarikat hiperskala dan pengendali pusat data kini menilai prestasi alam sekitar pembekal di samping perbelanjaan kos dan penggunaan teknologi semata-mata. Penghasilan dan penggunaan tenaga mampan telah beralih menjadi kriteria penting dalam cara pelanggan menilai rakan kongsi rantaian bekalan komponen.
Pelaburan Serampang Dua Mata
Pelaburan Micron di Malaysia boleh dilihat sebagai sebuah serampang dua mata yang menguntungkan pihak Micron dari segi akses kepada kepakaran industri semikonduktor yang terbaik di Asia Tenggara dan juga untuk Malaysia, negara kita boleh melahirkan banyak pekerja profesional dalam sektor semikonduktor yang berpengetahuan dan berpendapatan tinggi.

Micron mengatakan bahawa teknologi AI kini membentuk semula cara dunia menyimpan, memproses dan memindahkan data, dan kecemerlangan pembuatan memori mereka di Malaysia mencerminkan keyakinan jangka panjang Micron terhadap masa depan tersebut. Setiap model AI yang diperkenalkan hari ini bergantung kepada memori berprestasi tinggi, dan pasukan Micron di Pulau Pinang dan Muar membantu membina teknologi yang membantu memajukan pembangunan teknologi tersebut.
Untuk ini, Micron dilihat menumpukan usaha mereka untuk meningkatkan tiga perkara bersama: kemudahan, keupayaan teknologi dan bakat tempatan. Selain daripada program pendidikan dan latihan TVET yang diperlihatkan sebelum ini, Micron juga dilihat memperkenalkan program-program seperti latihan peningkatan kemahiran AI, Laluan Kepimpinan Teknikal dan perkongsian dengan 12 institusi universiti dalam penyertaan Program Perhimpunan & Ujian Semikonduktor (SAT-Pro) dengan institusi-institusi seperti USM di Pulau Pinang dan UOW-KDU di Kuala Lumpur.

Teknologi AI juga diaplikasikan pada sistem pembuatan pintar dan proses automasi di semua kilang-kilang mereka di Muar dan Pulau Pinang untuk meningkatkan kejituan proses, meningkatkan hasil dan kualiti, serta mengurangkan masa dan kos kitaran pengeluaran komponen.
Ini bermakna bahawa selain daripada melahirkan profesional yang mahir dalam proses pembuatan, pempakejan dan ujian komponen semikonduktor, Micron juga membangunkan pekerja yang mahir dalam menggunakan teknologi AI dalam proses mempercekapkan lagi pengeluaran komponen-komponen mereka. Ini juga merupakan sesuatu yang sangat penting, khususnya apabila permintaan untuk komponen memori dan storan dilihat semakin meningkat dalam pelbagai jenis industri setiap hari.
Merealisasikan Impian AI Malaysia
Untuk Malaysia merealisasikan impian menjadi hab AI serantau dan global, Amarjit mengatakan bahawa beberapa aspek perlu bergerak seiring: bakat, infrastruktur dan kesinambungan dasar.
“Dari segi bakat, Malaysia mempunyai kelebihan tenaga kerja yang sebenar, dan mengekalkannya kelebihan ini bermakna sentiasa merapatkan jurang antara apa yang diajar oleh universiti dan apa yang sebenarnya diperlukan oleh industri pembuatan maju hari ini. Itu bermula lebih awal dalam perancangan. Memandangkan AI kelak akan menjadi asas kepada cara industri-industri beroperasi, ada peluang untuk menerapkan literasi AI sebagai sebahagian daripada perjalanan pendidikan dari awal persekolahan hingga pendidikan tinggi, memastikan pelajar membina bukan sahaja kesedaran, tetapi juga pengetahuan praktikal dan penggunaan aplikasi AI sebelum mereka memasuki tenaga kerja.”
“Itulah sebabnya di Micron, kami telah menubuhkan jawatankuasa khusus yang menyelia program peningkatan kemahiran AI di seluruh tenaga kerja kami di Malaysia, dengan bengkel dan sesi latihan untuk membina kecekapan tulen dalam alatan dan teknik AI, bukan sekadar kesedaran mengenainya. Matlamatnya adalah untuk kakitangan kami berkembang pada kadarF yang sama seperti teknologi yang digunakan. Keutamaan sekarang adalah menghubungkan inisiatif seperti ini ke dalam saluran paip kebangsaan yang koheren, yang berskala dengan ke mana AI membawa industri.”
Dari segi infrastruktur dan dasar kerajaan pula, Amarjit turut mengatakan bahawa tidak kira industri, diantara perkara yang paling penting ialah dasar yang kukuh dan kebolehramalan pasaran. Pengeluaran komponen berskala AI memerlukan keputusan pengeluaran modal jangka panjang, dan keputusan tersebut bergantung pada pengetahuan bahawa grid tenaga, persekitaran kawal selia, dan rangka kerja pelaburan akan stabil yang boleh diramal.
Menurut Amarjit, Malaysia telah mencapai kemajuan sebenar dalam sektor ini melalui perjanjian pembelian kuasa maya (VPPA), program tarif hijau, pembiayaan GTFS 5.0, dan momentum berterusan dalam memperkemaskan perolehan tenaga boleh diperbaharui. Penetapan garis masa yang lebih jelas untuk kesediaan grid, dan mengekalkan kesinambungan dasar merentasi pentadbiran akan mengukuhkan keyakinan pelbagai pelabur lain.
Peruntukan RM180 juta Strategi dan Bajet Semikonduktor Negara 2026 di bawah Dana Pembangunan Perindustrian NIMP 2030 juga menandakan cita-cita yang tepat. Tugas kerajaan dan sektor pengeluaran sekarang adalah pelaksanaan pada kelajuan yang diperlukan untuk mencapai peluang tersebut.
Mengorak Langkah Ke Hadapan Dengan Berhati-hati
Tidak dinafikan bahawa pasaran memori sekarang sudah didominasi oleh sektor AI yang menyebabkan tanda harga komponen tersebut meningkat dengan mendadak untuk semua sektor-sektor teknologi lain, tidak kira untuk peranti pengguna, automotif, perindustrian, pusat data dan lain-lain.
Bukan itu sahaja, Malaysia dilihat mempunyai banyak projek pembangunan pusat-pusat data AI yang dirisaui akan memakan terlalu banyak sumber tanah, tenaga dan air negara sehingga ia tidak mencukupi untuk menampung keperluan rakyat. Penekanan harus diberikan terhadap keseimbangan pemesatan dari segi teknologi pusat data dan kelansungan hidup rakyat negara ini.

Micron juga telah menutup jenama memori dan storan pengguna mereka sendiri, Crucial dan buat masa ini, hanya memfokuskan terhadap pengeluaran komponen memori dan storan pengguna untuk jenama-jenama dan juga untuk kegunaan pusat data dan sistem-sistem AI.
Walaupun begitu, lebih banyak syarikat perlu mengambil contoh dari Micron untuk memperkenalkan pelan-pelan tenaga mampan dan juga kitaran penggunaan air yang bukan sahaja membantu Micron untuk menghasilkan komponen-komponen mereka, tetapi juga membantu mereka memperkenalkan teknologi tenaga mampan yang moden yang tidak mengotorkan persekitaran.
Penutup
Jika ada satu hikmah di sebalik semua ini ialah kita dapat memperlihatkan pemesatan industri penghasilan dan pengeluaran komponen semikonduktor di Malaysia. Ia juga membantu rakyat Malaysia untuk mendapatkan peluang pekerjaan berkualiti tinggi dengan gaji yang besar, dan di masa hadapan, juga akan membantu negara ini mencapai cita-cita untuk menjadi pasaran pengeluar komponen AI yang besar.

Micron Malaysia juga akan terus menjadikan Malaysia sebagai tapak pempakejan dan ujian komponen-komponen memori dan storan utama mereka dimana kelak, memori DDR6, HBM4 juga akan diuji dan dipakej di sini, menaikkan lagi nilai Malaysia sebagai destinasi penghasilan semikonduktor yang terkemuka.