Apple Dan Ford Akan Bekerjasama Untuk Membangunkan Sistem Kenderaan Swapandu
Nazrin
Dalam industri automotif, peranan Apple secara lazimnya terhad kepada penggunaan perisian Apple CarPlay pada sistem skrin inforia sesebuah kereta. Terkini, Ford, jenama automotif dari Amerika Syarikat telah mengumumkan bahawa mereka akan bekerjasama dengan Apple untuk bukan sahaja menggunakan Apple CarPlay sebagai sistem hiburan dalam kereta, tetapi juga akan menggunakan khidmat perisian untuk membantu membangunkan sistem swapandu Ford.
Selain daripada penggunaan Apple CarPlay dalam kenderaan mereka, Ford juga mengatakan bahawa mereka akan menggunakan Apple Maps sebagai perisian lalai dalam sistem pembantu pemandu kenderaan elektrik yang baru dilancarkan.

Dalam pada itu, Ford turut mengatakan bahawa kerjasama bersama Apple juga akan membantu Ford untuk membangunkan dan memperhalusi sistem swapandu mereka dan akan diperkenalkan apabila kenderaan-kenderaan swapandu Ford dilancarkan pada tahun hadapan, yang bermakna bahawa Apple akan hadir dengan perisian terbina didalam kenderaan-kenderaan ini dan tidak memerlukan pemandu untuk memiliki sebuah peranti Apple iPhone untuk menggunakannya.
Ford akan membangunkan sistem swapandu merek sendiri, dan Apple akan membantu Ford bagaimana untuk memahami aspek-aspek jalan raya, seperti lokasi selekoh, bagaimana untuk keluar dan masuk persimpangan, lorong-lorong dan pelbagai aspek jalan raya supaya proses swapandu ini boleh dilakukan secara lebih selamat.
Pengumuman ini cukup menarik sekali kerana syarikat-syarikat automotif jarang sekali mahu bekerjasama dengan syarikat-syarikat seperti Apple dan Google dan sanggup membangunkan perisian dan sistem mereka sendiri daripada bergantung kepada penawaran syarikat-syarikat tersebut.
Ford dijangka akan memperkenalkan kenderaan swapandu mereka sendiri pada tahun hadapan, dan kemaskini untuk pengenalan sistem inforia dijangka akan diperkenalkan kelak.
Sumber: New York Times