Facebook Akan Uji Paparan Utama Baharu Di Aplikasi Dengan Video Seumpama TikTok – Ganti Paparan Feed
Aman
Kebelakangan ini, lebih ramai menghabiskan masa dengan mengikuti perkongsian video – tidak kira sama ada di YouTube, Instagram mahupun TikTok. Menyedari perubahan kaedah penggunaan ini, kini Facebook menyatakan mereka kelak akan memulakan ujian untuk paparan utama skrin aplikasi mudah-alih Facebook, dengan memaparkan kandungan video skrin penuh – lebih kurang seperti pada TikTok.
Dengan langkah ini, sebaik sahaja anda membuka aplikasi Facebook, anda akan melihat video penuh, dan boleh menatal ke atas dan ke bawah untuk melihat video-video lain. Facebook mengatakan ciri ini akan diuji di beberapa buah negara yang menyaksikan penggunaan video yang tinggi, sebelum diperluaskan atau diimplementasi sepenuhnya.

Apa pun, Facebook menyatakan mereka turut akan menyediakan pilihan kepada pengguna, untuk melihat paparan Feed seperti sedia ada, dan boleh melakukan tetapan berkenaan pada aplikasi berkenaan.
Facebook mengatakan mereka telah beroperasi selama 20 tahun, dan dengan perubahan kaedah penggunaan dan perkongsian kandungan, mereka turut ingin mengoptimasikan produk mereka selari dengannya.
Bagi anda, adakah anda akan kekal ke Facebook dengan perubahan ini? Atau apakah pendapat anda berkenaan perubahan ini di Facebook?