Nothing Nafi Laporan Akan Keluar Daripada 12 Pasaran
Effi Saharudin
Nothing menafikan laporan bahawa mereka akan keluar daripada 12 pasaran dunia disebabkan oleh pengeluaran yang berkurangan kerana krisis RAM dan tekanan kewangan. Dalam kenyataan yang dikeluarkan di X, pengasas bersama Nothing Akis Evangelidis berkata – syarikat hanya sedang melakukan penyusunan semula untuk menyediakan fasa pertumbuhan seterusnya. Antara yang baru ditubuhkan ialah unit perniagaan natif kecerdasan buatan.

Beliau walau bagaimanapun mengesahkan pengurangan pekerja telah dilakukan syarikat disebabkan penyusunan semula ini. Penutupan operasi di beberapa negara seperti yang dilaporkan hanyalah proses memindahkan operasi ke hab-hab rantau bagi menjadikannya lebih cekap.
Dalam laporan asal Digit.it, Nothing dikatakan membuang sehingga 40% pekerja global dengan sesetengah unit dikurangkan sehingga 50% pekerja. Walaupun dinafikan oleh Evangelidis, Digit.it berdiri teguh di belakang laporan mereka bahawa Nothing akan menarik diri daripada 12 pasaran dunia.
Setakat ini CMF by Nothing telah mengesahkan mereka tidak akan melancarkan telefon baharu kerana tidak mendapat bekalan RAM. Nothing Phone (4b) yang baru dilancarkan pula hanya ditawarkan dengan 8GB RAM dan storan 128GB sahaja di semua pasaran kecuali India. Dengan bekalan RAM semakin meruncing, hanya masa akan menentukan sama ada ura-ura ini sebenarnya hanya menanti masa menjadi kenyataan.