Apple Dijangka Perlihatkan Cermin Mata Pintar Pada WWDC 2027
Aman
Pelbagai pengeluar kini berlumba dalam memperkenalkan cermin mata pintar mereka tersendiri, sekaligus bersaing dalam mendapatkan pegangan pasaran untuk era baharu peranti yang kini didominasi oleh Meta. Apple turut tidak ketinggalan, dan mengikut laporan Bloomberg, Apple dijangka memperlihatkan cermin mata pintar mereka seawal WWDC 2027.
Dengan langkah berkenaan, ia akan membolehkan para pembangun mula membangunkan aplikasi masing-masing untuk cermin mata pintar, sebelum peranti berkenaan dilancarkan kepada umum tidak lama selepas itu.

Apple dikatakan kini memikirkan kaedah mengutamakan privasi yang baik melalui cermin mata pintar mereka. Untuk tujuan berkenaan, beberapa variasi diuji, termasuk cermin mata pintar tanpa kamera. Dan ada versi yang diuji dengan kamera terbina, tetapi tidak dibenarkan untuk merakamkan video atau gambar – dan digunakan untuk tujuan kecerdasan buatan sahaja.
Selain cermin mata pintar, Apple juga sedang bangunkan AirPods yang hadir dengan kamera untuk tujuan kecerdasan buatan, dan bukannya untuk merakamkan gambar atau video. Siri dijangka akan menjadi teras utama untuk kedua-dua peranti generasi baharu ini.
Dengan perkembangan ini, sama-sama kita nantikan apakah kejutan yang disediakan Apple dalam tempoh sekitar setahun lagi. Ia tidak diketahui sama ada ia akan dikategorikan di bawah keluarga “Vision”, atau hadir di bawah siri keluarga baharu.