WhatsApp Bangunkan Sokongan Kata Laluan Sebagai Alternatif PIN Enam Digit
Amy Maizuraa
WhatsApp sedang membangunkan ciri baharu yang membolehkan pengguna menetapkan kata laluan sebagai pengganti PIN enam digit dalam pengesahan dua langkah.

Langkah ini dijangka meningkatkan keselamatan akaun kerana kata laluan lebih sukar diteka berbanding PIN biasa. Hal ini demikian kerana kata laluan bukan sahaja boleh menggabungkan huruf dan nombor malah panjangnya lebih bebas diantara 6 hingga 20 aksara berbanding PIN yang terhad kepada 6 digit nombor sahaja. Kebebasan ini turut menghasilkan gabungan yang jauh lebih banyak sekali gus menjadikan akaun lebih sukar digodam walaupun kod SMS berjaya ditembusi.

Selain itu, pengguna yang telah mengaktifkan pengesahan dua langkah dengan PIN akan diminta menukar kepada kata laluan apabila ciri ini dilancarkan. Untuk memudahkan proses peralihan ini, WhatsApp dijangka menyediakan panduan langkah demi langkah.
Bagaimanapun, pengesahan dua langkah kekal sebagai pilihan dan tidak diwajibkan. Buat masa ini, ciri tersebut masih dalam peringkat pembangunan dan belum ditawarkan kepada penguji beta.