ChatGPT Kini Enggan Meniru Gaya Penulisan Penulis Terkemuka
Effi Saharudin
Semasa dilancarkan empat tahun lalu, antara ciri yang boleh dilakukan ChatGPT ialah menghasilkan karya mengikut gaya penulis terkemuka seperti Shakespeare, Stephen King dan George R R Martin. Kerana ia boleh meniru gaya, pemilik karya mula mengesyaki OpenAI menggunakan hasil penulisan mereka untuk melatih model bahasa raya (LLM) secara haram. Akibatnya OpenAI berhadapan beberapa kes saman melibatkan penulis yang masih hidup dan syarikat penerbit buku.

Hari ini, ChatGPT mula memberikan jawapan mengatakan ia tidak lagi boleh meniru gaya penulisan penulis dengan karya yang masih mempunyai hak cipta. Gaya penulisan penulis seperti JK Rowling, Stephen King dan George R R Martin antara yang kami dapati tidak lagi boleh ditiru. Dalam kalangan penulis tempatan pula, ChatGPT enggan menir gaya Ahadiat Akashah.

Tetapi halangan meniru gaya ini tidak konsisten. ChatGPT masih boleh meniru gaya penulis Ramlee Awang Murshid, A Samad Said dan Hilal Asyraf yang kesemuanya masih hidup serta memegang hak milik karya mereka sehingga sekarang. Secara peribadi, ChatGPT juga tidak mempunyai masalah menghasilkan artikel menggunakan gaya penulisan saya sendiri.
Dalam laporan ArsTechnica, wakil OpenAI tidak memberikan sebab mengapa ciri yang ditawarkan sejak ChatGPT dilancarkan ini telah dihentikan secara tiba-tiba dan tanpa sebarang pengumuman rasmi. Besar kemungkinan ia mempunyai kaitan dengan kes saman yang sedang dihadapi oleh OpenAI.
Sumber – ArsTechnica