Sony Ingin Mengambil Alih Tamron
Amy Maizuraa
Sony telah mengemukakan cadangan untuk mengambil alih Tamron Co. Ltd. yang merupakan pembuat lensa terkenal dari Jepun. Cadangan tersebut bertujuan menjadikan Tamron sebagai anak syarikat milik penuh Sony Group Corporation.

Dalam kenyataan rasmi, Tamron mengesahkan penerimaan cadangan tersebut namun menegaskan ia masih bersifat tidak mengikat dan belum ada keputusan muktamad. Susulan itu, syarikat telah menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menilai pilihan terbaik demi meningkatkan nilai korporat.

Menurut laporan Nikkei Asia yang memetik Reuters, pasaran saham segera memberi respons terhadap pengumuman ini. Saham Tamron melonjak dengan pesanan beli sehingga tidak dapat diniagakan kerana permintaan terlalu tinggi, manakala saham Sony pula susut sebanyak 0.3%. Respons pasaran saham ini menggambarkan betapa cepatnya pelabur bertindak balas terhadap perkembangan yang berpotensi memberi kesan besar kepada sektor lensa dan sistem imej.

Sony dalam masa sama menegaskan keyakinan bahawa pengambilalihan Tamron akan mengukuhkan perniagaan imej mereka yang merangkumi kamera, sensor dan lensa sekali gus memberi manfaat kepada pihak berkepentingan. Ketika ini, Sony memiliki 14.7% saham dalam Tamron manakala pemegang terbesar ialah Effissimo Capital dari Singapura dengan pegangan sebanyak 17.4%.
Pada asasnya, cadangan pengambilalihan ini masih berada di peringkat awal dan belum muktamad. Keputusan hanya akan dibuat selepas Jawatankuasa Khas Tamron selesai menilai pilihan terbaik demi kepentingan semua pihak berkepentingan.