Wise Kini Menyokong Ciri DuitNow QR Di Malaysia
Amy Maizuraa
Wise kini mengintegrasikan DuitNow QR ke dalam aplikasi dan perkhidmatannya melalui kerjasama dengan PayNet. Langkah ini dijangka meningkatkan pengalaman pengguna kerana menyediakan kaedah pembayaran yang lebih mudah di pelbagai kedai dan peniaga.

Baik pelancong yang berkunjung ke Malaysia mahupun penduduk tempatan yang melakukan pembelian, mereka boleh menggunakan aplikasi Wise untuk mengimbas dan membayar di peniaga yang mengambil bahagian tanpa perlu bergantung kepada aplikasi e dompet atau perkhidmatan perbankan lain.
Selain daripada itu, Wise turut memperkenalkan kemudahan pemindahan domestik melalui DuitNow Transfer yang lebih ringkas.

Dengan fungsi ini, pengguna tidak lagi perlu berurusan dengan butiran akaun bank yang rumit kerana mereka boleh menghantar wang hanya menggunakan nombor telefon atau nombor kad pengenalan penerima.
Nama penerima akan dipaparkan secara automatik untuk pengesahan sebelum transaksi disahkan sekali gus memastikan dana sampai kepada penerima yang betul dan mengurangkan risiko kesilapan transaksi.