Netflix Disaman $105 Juta Kerana Hilangkan Salinan Filem Digital
Effi Saharudin
Netflix telah disaman sebanyak $105 juta oleh Simon Afram, seorang penerbit filem kerana didakwa menghilangkan salinan filem digital yang dihantar ke pejabat mereka. Filem Fortitude yang dibintangi Nicolas Cage dan Ben Kingsley dihantar ke Netflix dalam bentuk storan Digital Cinema Package (DCP) pada bulan Julai dengan tujuan untuk menayangkannya di platform tersebut.

Tetapi apabila penerbit meminta supaya storan DCP dipulangkan semula, Netflix pada awalnya tidak memberikan respons sebelum kemudian mengaku salinan tersebut telah dicuri. Walaupun filem menelan belanja $45 juta, pampasan lebih besar diminta kerana insiden menjejaskan nilai pasaran filem sekiranya ia bocor ke internet.
Netflix menegaskan bahawa filem sepatutnya dihantar dalam bentuk DCP yang disulitkan dengan kata laluan atau melalui pautan dilindungi kata laluan, dan menolak dakwaan bahawa mereka bertanggungjawab atas kehilangan tersebut. Pasukan Afram pula mendakwa mereka sekadar mengikut arahan Netflix supaya DCP tidak disulitkan dan meminta ia dipadam selepas ditonton.
Walaupun salinan digital filem telah dicuri, sehingga kini ia belum lagi dibocorkan ke laman cetak rompak. Ini mungkin kerana pemacu DCP yang mengandungi Fortitude telah dijual sebagai logam sekerap oleh pencuri.