Lenovo ThinkPad X13 Detachable Diperkenalkan – Pesaing Tablet Surface Pro Dengan Cip Intel Panther Lake
Nazrin
Microsoft Surface Pro merupakan sebuah komputer tablet yang cukup menarik sekali, dimana ia menawarkan prestasi perkomputeran dengan sistem operasi Microsoft Windows sepenuhnya dalam rekabentuk sebuah tablet. Lenovo merupakan salah satu jenama komputer yng cukup terkenal untuk pelbagai penawaran perkomputeran mereka, dan kini, telah memperkenalkan penawaran mereka sendiri dalam rekabentuk ini yang dinamakan Lenovo ThinkPad X13 Detachable.

Tablet komputer ini hadir dengan paparan skrin IPS bersaiz 13 inci dengan resolusi 2,880 x 1,920 pada nisbah 3:2 dengan kadar segar semula 120Hz dan boleh mengolah 100 peratus gamut warna DCI-P3. Bahagian papan kekunci ini boleh dipasang kepada bahagian bawah paparan menggunakan pin pogo yang akan menyambungkannya kepada tablet, menjadikannya sebuah komputer riba.
Sama seperti apa yang ditawarkan melalui Surface Pro, ThinkPad X13 Detachable ini juga mempunyai tapak di bahagian belakang paparan untuk mendirikan tablet ini, membolehkannya digunakan sebagai tablet secara kendiri ataupun sebuah komputer riba apabila bahagian papan kekunci dipasang padanya.

ThinkPad X13 Detachable ini akan dikuasakan oleh siri cip pemprosesan Intel Core Ultra Series 3 Panther Lake, yang mengikut pasaran, hadir dengan pilihan seperti Intel Core Ultra 7 365 vPro, Intel Core Ultra 5 335 vPro dan Intel Core Ultra 5 322 vPro. Dari segi memori dan storan pula, tablet ini akan hadir dengan pilihan memori LPDDR5X sebanyak 32GB dan storan SSD sebesar 1TB.

Dari segi penawaran palam pula, ThinkPad X13 Detachable tampil dengan dua palam Thunderbolt 4, palam audio 3.5mm, butang laras kelantangan audio dan juga butang kuasa. Ia juga hadir dengan sokongan sambungan internet nirwayar WiFi7, dan dari segi bateri pula, tablet ini dimuatkan dengan bateri 45WHr.
Lenovo ThinkPad X13 Detachable ini sudahpun mula ditawarkan di beberapa pasaran terpilih seperti Eropah dan Australia, tetapi melihat kepada laman web Lenovo Malaysia, produk ini masih lagi diperlihatkan sebagai “Akan Datang”. Buat masa ini ia masih tidak diketahui lagi bilakah tablet ini akan ditawarkan di sini.
Sumber: Lenovo