Samsung Juga Menemui Aplikasi Yang Membuka Kerentanan Kepada Rangkaian Pengguna
Nazrin
Beberapa minggu lalu kami telah melaporkan bahawa LG didapati telah memasang perisian hasad melalui kemaskini perkakasan paparan skrin dan juga televisyen pintar mereka yang memperlihatkan iklan-iklan yang tidak sepatutnya pada paparan-paparan ini.
Terkini, Samsung dilaporkan telah menemui aplikasi-aplikasi pihak ketiga yang didapati sekiranya dipasangkan pada televisyen-televisyen pintar mereka, membolehkan penggodam untuk menjadikan televisyen pintar tersebut sebagai pemancar rangkaian WiFi dan membolehkan mereka untuk mengakses rangkaian yang disambungkan kepada televisyen tersebut dari luar.

Aplikasi-aplikasi ini juga dilaporkan telah dipasang pada berjuta-juta televisyen Samsung, dan menjadikan perkakasan tersebut titik akses rangkaian internet “percuma” untuk penggodam-penggodam ini di seluruh dunia. Salah satu daripada aplikasi yang dikenalpasti digunakan untuk tujuan ini merupakan sebuah aplikasi permua “Pac-Man” yang telah disiarkan sebagai aplikasi “Pilihan Editor”, menjadikannya salah satu daripada aplikasi yang paling banyak dimuat-turun.
Apa yang lebih menggerunkan tentang aplikasi ini ialah apabila ia dipasangkan pada televisyen pengguna, ia tidak perlu digunakan untuk mengaktifkan mod pemancar rangkaian tersebut. Samsung mengatakan bahawa mereka telah sedar akan isu ini, dan telah membuang aplikasi tersebut dari gedung aplikasi televisyen mereka.
Samsung juga mengatakan bahawa mereka telah mula mencari dan membuang aplikasi-aplikasi hasad lain yang membahayakan keselamatan digital pengguna, dan akan memperketatkan proses pengesahan aplikasi yang akan dibenarkan untuk dipaparkan dan dimuat-turun pada gedung aplikasi tersebut.
Sumber: Tech Crunch