OpenAI Dakwa Apple Putar Belit Fakta Dalam Kes Saman
Effi Saharudin
OpenAI menuduh Apple memutar belit fakta dalam tuntutan saman yang difailkan pada Julai lalu. Apple misalnya mengatakan mereka menghubungi OpenAI pada Februari, tetapi OpenAI menunjukkan Apple sebenarnya menghantar emel kepada orang yang salah dan mengakuinya kemudian.

Apple sebelum ini mendakwa mereka berbincang dengan peguam OpenAI, tetapi kemudian mengesahkan perkara itu tidak pernah berlaku. Mereka turut tidak pernah membangkitkan dakwaan khusus sebelum memfailkan saman.
Dalam saman ke atas pekerja OpenAI, Chang Liu – Apple menuduh Liu mengakses maklumat sulit selepas keluar, tetapi mesej menunjukkan Apple yang menghubungi beliau untuk bantu mencari fail dalaman. Kemampuan mantan pekerja mengakses fail selepas meletakkan jawatan dilihat sebagai berpunca daripada kelemahan Apple sendiri.
Untuk pertuduhan kepada Tang Tan – seorang lagi pekerja OpenAI yang sebelum ini bertugas selama 24 tahun di Apple pula – Apple pula didakwa cuba mengubah naratif dengan tuduhan tidak jelas terhadap bekas pekerja lain.
Oleh itu OpenAI berkata Apple bertindak secara agresif dan tidak konsisten dengan reputasi mereka. Tambah OpenAI lagi, mereka lebih berminat membina teknologi inovatif daripada terlibat dalam kes undang-undang yang tidak berasas.
Sumber – OpenAI