Kad Kredit Visa Alliance Bank Kini Menyokong Apple Pay
Alliance Bank baru-baru ini telah mengumumkan bahawa kad kredit Visa mereka kini boleh disambungkan dan digunakan melalui perkhidmatan pembayaran nirsentuh Apple Pay.

Ini bermakna bahawa para pengguna kad kredit tersebut boleh menyambungkan kad kredit Alliance VIsa mereka pada perkhidmatan pembayaran ini, dan membuat pelbagai jenis pembayaran dan pembelian melalui pelbagai peranti Apple yang menyokong pembayaran melalui Apple Pay seperti iPhone, iPad, Apple Watch, MacBook dan sebagainya.

Alliance Bank juga telah menunjukkan cara mudah untuk menambahkan kad kredit tersebut kepada Apple Pay melalui aplikasi allianceonline untuk iOS mereka, yang telah menambahkan ciri sokongan Apple Pay, yang kemudiannya akan meminta anda untuk menambahkan kad kredit ini pada dompet digital Apple Wallet.

Nampaknya semakin banyak bank-bank tempatan sudah mula menambahkan ciri sokongan Apple Wallet pada penawaran kad kredit mereka, dengan CIMB juga menambahkan ciri tersebut pada kad kredit mereka baru-baru ini.
Sumber: Alliance Bank