BMW iX3 Neue Klasse Dijual Pada Harga RM378K – Jarak 805 KM WLTP, Senibina Pengecasan 800V
Ikhwan Nazri
Setelah beberapa tahun istilah Neue Klasse yang bermaksud ‘Kelas Baharu’ menjadi sebutan peminat automotif tempatan, hari ini BMW Malaysia telah melancarkan BMW iX3 Neue Klasse untuk pasaran Malaysia. Dengan namanya menandakan permulaan baharu bukan sahaja dari segi rekaan, malah dengan teknologi baharu yang sarat dengan pembaharuan ini bakal mendefinisikan siri BMW yang seterusnya.

Sebagai model pertama Neue Klasse yang baharu, rekaan hadapannya kini menggunakan ‘gril buah pinggang’ yang lebih kurus, lengkap dengan lampu hiasan BMW Iconic Glow yang menyerlahkan identiti BMW ini. Sebagai model dengan label M Sport, ia turut membawakan beberapa kemasan khas, termasuklah rim aloi 22-inci, angkup brek M Sport berwarna merah, dan logo BMW dibahagian belakang yang turut mempunyai lampu hiasan.

BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro ini merupakan SUV elektrik yang menggunakan teknologi eDrive generasi keenam, dengan pacuan kesemua roda hasil dari 2 motor elektrik yang menjumlahkan kuasa 345 kW dan 645 Nm tork maksimum, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.9 saat dengan kelajuan maksimum 210 km/j. Dengan teknologi eDrive yang baharu ini juga ia turut menyertakan senibina pengecasan 800V, membolehkan pengecasan pantas DC 400kW untuk 10-80% dalam masa 21 minit. Berkat dari senibina pengecasan ini, BMW iX3 ini boleh pergi sejauh 805 KM WLTP dikuasakan dari bateri sebesar 108.7 kWh. Melengkapkan teknologi eDrive generasi keenam ini adalah unit pemanduan baharu yang dipanggil Heart of Joy, yang lebih responsif mengikut kawalan pemandu.

Lebih menarik lagi, mendukung istilah Neue Klasse adalah rekaan papan pemuka yang diperbaharui secara radikal. Tiada lagi paparan instrumen kerana ia digantikan dengan paparan BMW Panoramic Vision, iaitu paparan terpancar bersaiz 43.3-inci yang meliputi keseluruhan cermin ruang papan pemuka. Ia mempamerkan pelbagai informasi, dan turut berubah mengikut pilihan dan kustomasi pemandu. Pemandu tidak perlu lagi melihat paparan instrumen dicelah stereng pemanduan. Ia dilengkapkan lagi dengan paparan terimbuh BMW 3D HUD yang turut memaparkan kelajuan serta navigasi. Bagi kawalan hiburan, paparan inforia bersaiz 17.9-inci diletakkan pada bahagian tengah, membolehkan kesemua tetapan dan informasi berlainan dipaparkan menerusi BMW Operating System X.

Tidak lengkap BMW tanpa segenap keselesaan dan kemewahan yang ditawarkan, dimana ia turut membawakan 13 pembesar suara Harman Kardon, bumbung lutcahaya, kerusi urut untuk pemandu dan penumpang hadapan, ruang bagasi seluas 540L yang boleh dibesarkan kepada 1750L apabila kerusi penumpang belakang dilipat. Fungsi swapandu tahap 2 turut diberikan, termasuklah sistem swaparkir memudahkan operasi SUV elektrik ini.

BMW iX3 50 xDrive M Sport Pro Neue Klasse ini dijual pada harga RM378,800 dan BMW Malaysia turut menawarkan promosi 3 bulan pertama tanpa sebarang bayaran. Ia turut hadir dengan pilihan BMW Service & Repair Inclusive yang menjumlahkan harga kepada RM 399,800 dan memberikan jaminan selama 5 tahun tanpa sebarang had perbatuan, dengan penyelenggaran selama 6 tahun tanpa had jarak perbatuan, dan jaminan bateri selama 8 tahun. Jika anda telah lama menantikan BMW baharu, anda boleh ke ruang pameran BMW berdekatan seluruh negara.