Huawei Nova 16 SE Rasmi Dengan Bateri 8500mAh Serta Sokongan Mesej Satelit
Amy Maizuraa
Huawei Nova 16 SE dilancarkan di China semalam yang menandakan kemunculan semula siri SE dalam barisan Nova. Rekaan peranti ini menyerupai siri iPhone 17 khususnya pada susunan kamera belakang berbentuk segi tiga dalam bongkah empat segi memanjang. Tubuhnya turut menggunakan sisi bersegi yang memberi sentuhan moden dan premium.

Nova 16 SE hadir dengan paparan OLED 6.84” beresolusi tinggi, kadar segar semula 120Hz serta kecerahan puncak 8,000 nits. Selain itu, ia menawarkan WM dimming 1440Hz untuk mengurangkan keletihan mata. Ini dipadankan dengan cip Kirin 8020 bersama storan dalaman sehingga 512GB untuk menjadikan peranti ini mampu memberikan prestasi yang memadai dalam segmennya.

Sistem kamera turut dilengkapi dengan sensor utama 50MP RYYB lengkap OIS yang digandingkan bersama kamera warna Red Maple khas Huawei. Namun kekuatan sebenar peranti ini terletak pada bateri 8,500mAh dengan sokongan pengecasan pantas 66W, sekali gus memastikan penggunaan harian yang lebih tahan lama dan mudah dicas semula semula apabila kehabisan kuasa.

Peranti ini turut hadir dengan ciri moden seperti rangka aloi aluminium, panel gentian kaca, pembesar suara stereo, IR blaster, NFC, Wi-Fi 7, Bluetooth 6.0 serta mesej satelit Beidou. Selain itu, ia mempunyai penarafan kalis air IP66/IP68/ IP69/IP69K dengan ketebalan hanya 7.98mm serta berat 229 gram. Nova 16 SE ini merupakan model kelima dalam siri Nova 16 dan harga di China bermula daripada RMB2,499 (~RM1,513) untuk model asas.
Sumber – HUAWEI nova 16 SE