Penjejak Objek Google Pixel Tag Diumumkan Dengan Sokongan Find Hub dan UWB
Effi Saharudin
Seperti dijangka Google Pixel Tag – penjejak objek bluetooth pertama mereka – telah diumumkan sebentar tadi sebagai pesaing kepada AirTag dan SmartTag. Ia berbentuk bujur dengan ia hadir dengan sokongan penjejakan menerusi rangkaian Find Hub dan Ultra Wide Banda (UWB).

Ia turut dilengkapi pembesar suara yang mengeluarkan bunyi untuk memudahkan ia dicari. Tubuhnya bujur dengan terdapat satu lampu LED di hadapan juga untuk memudahkan pencarian pada waktu malam.

Ia tidak mempunyai lubang cangkuk terbina tetapi Google menjual aksesori membolehkan ia dicangkuk kepada sekawan kunci. Bateri bulat CR2032 digunakan dengan ia boleh ditukar sendiri. Google berkata satu bateri boleh bertahan selama setahun. Tubuh penjejak objek ini turut melepasi piawaian IP67.

Untuk menggunakan Pixel Tag, peranti Android 9 dan ke atas adalah diperlukan. Walaupun telah diumumkan, Google Pixel tag hanya akan dijual bulan November depan pada harga $29 (~RM 119) dalam warna Fog sahaja.