Google Membeli Data Perniagaan Penerbangan Dengan Tujuan Untuk Melatih Model AI
Google kini dilihat membida untuk mendapatkan data perniagaan bagi Spirit Airlines, pada nilai $10 juta. Untuk makluman, Spirit Airlines merupakan syarikat penerbangan tambang murah berpusat di Amerika Syarikat, yang telah diasaskan sejak 1964, namun telah diisytihar muflis sebelum berhenti beroperasi sejak Mei 2026 lepas.

Google membida untuk mendapatkan data dalaman perniagaan berkenaan dengan tujuan untuk membantu dalam pembangunan produk serta melatih model AI mereka. Data yang disertakan dilihat adalah termasuk emel-emel pekerja, mesej pada Microsoft Teams, pelbagai dokumen dan data kalendar, selain data melibatkan operasi, produktiviti dan juga pemasaran.
Ia diperkatakan data melibatkan pelanggan akan dijadikan awanama sebelum dijual. Selain Google, terdapat syarikat lain turut membida untuk mendapatkan data berkenaan bagi tujuan melatih model AI mereka.
Pelbagai syarikat yang membangunkan model kecerdasan buatan, kini melihat kepada data-data berbeza dan unik untuk melatih model mereka, dan mempunyai kelebihan tersendiri dari segi latihan dan penawaran kepada pelanggan mereka.