Kerajaan Malaysia Pertimbang Membeli Pembekal Pasport Dan MyKad
Aman
Kerajaan kini sedang pertimbang untuk membeli Datasonic Technologies Sdn Bhd pada nilai mencapai RM7.5 bilion. Untuk makluman, Datasonic Technologies merupakan syarikat milik penuh NexG Berhad, dan merupakan satu-satunya pembekal untuk pasport antarabangsa dan juga MyKad.
NexG mengatakan mereka telah diminta oleh kerajaan untuk memberikan harga bagi kemungkinan pengambil-alihan Datasonic Technologies. Namun, ia ditekankan yang tiada sebarang keputusan diambil berkaitan hal ini, dan tiada sebarang perjanjian yang telah dicapai dengan kerajaan untuknya.

Pada hari ini, Datasonic Technologies memegang beberapa kontrak kerajaan, termasuk membekalkan kad MyKad, MyTentera, dan MyPOCA, pembekalan pasport antarabangsa, dan pembekalan kad identiti pekerja asing. Disamping itu, mereka juga mempunyai sejumlah hak intelek melibatkan pengesahan identiti biometrik, system pengesahan QR rakyat biometrik, termasuk melibatkan pasport digital dan lain-lain.
NexG menganggarkan Datasonic Technologies bernilai sekitar RM7.5 bilion. Tetapi penilaian ini agak tinggi, jikalau dibandingkan dengan nilai saham NexG yang didagangkan, yang menilaikan syarikat NexG secara keseluruhan bernilai sekitar RM1.23 bilion.
Buat masa ini, tiada sebarang keputusan dan pengumuman lanjut dibuat berkaitan hal ini.