Ulasan Samsung Galaxy Watch9 – Jam Pintar Serba Lengkap
Dalam kehidupan seharian saya hanya satu gajet sahaja yang saya kurang gemar gunakan iaitu jam pintar tapi saya berpeluang untuk mencuba jam pintar terbaru dari Samsung iaitu Galaxy Watch9. Mampukah jam pintar ini mengubah fikiran saya untuk terus berhijrah daripada jam tangan biasa. Saya akan terangkan dengan lebih lanjut dalam artikel ulasan ini.
Spesifikasi Dan Rekaan
| Samsung Galaxy Watch9 | |
| Skrin | 1.47 Super AMOLED, 480 x 480 pixel, 3000 nits |
| Pemproses | Snapdragon SW6100 Wear Elite (3 nm) |
| Memori | 2GB RAM |
| Storan | 64GB |
| Sistem Operasi | One UI 9 Watch Wear OS 7 |
| Perlindungan | 5ATM IP68 |
| Sensor | Pengimbas nadi optikal, sensor pemecut,giroskop, sensor cahaya ambien, kompas elektronik,sensor barometer, sensor analisis impedans bioelektrik, fungsi pengecaman postur larian |
| Lain-Lain | GPS, Galileo, Glonass, BDS, QZSS, Bluetooth 5.3, Speaker Mikrofon, IP68 |
| Bateri | 445 mAh Pengecasan 10W |
| Bahan Binaan | Kerangka daripada aluminium, Tali jam getah |
| Harga | 40mm RM1499 (BT) RM1799 (LTE) 44mm RM1599 (BT) RM1899 (LTE) |
Jika anda seorang pengguna Samsung Galaxy Watch8 dan ke bawah mungkin anda susah untuk bezakan rekaannya dengan Galaxy Watch9 yang terbaru ini. Untuk saya yang bukan penggemar jam pintar ini lebih sukar untuk bezakan Watch9 dengan model sebelum ini. Samsung Galaxy Watch9 yang saya ulas ini bersaiz 44mm dengan skrin sebesar 1.47″.

Dari segi bahan binaan, jam pintar ini menggunakan kaca Sapphire Crystal pada skrinnya dan juga bingkai Armor Aluminium 2. Bahan binaan yang digunakan dapat membuatkan peranti ini kelihatan premium. Terdapat dua butang pada bahagian kanan peranti dan juga pembesar suara terletak pada bagai kiri peranti. Pada bahagian belakang menempatkan kebanyakan sensor untuk kegunaan kesihatan

Sebagai jam pintar premium, Samsung Galaxy Watch9 ini mempunyai ketahanan yang agak baik untuk pengguna kasual. Ia hadir dengan panarafan kalis air dan debu IP68. Secara keseluruhannya, jam pintar Galaxy Watch9 ini masih kelihatan premium meskipun Samsung hanya menggunakan rekaan yang sama seperti model sebelum ini.
Pengalaman Penggunaan
Selama 2 minggu saya menggunakan Samsung Galaxy Watch9 ini, ia sedikit sebanyak mengubah rutin harian saya dimana ada bahagian yang baik dan kurang baik. Saya tidak pernah menghadapi masalah dengan skrin pada jam ini walaupun digunakan bawah cahaya matahari yang terang kerana ia menggunakan panel Super AMOLED yang mempunyai tahap kecerahan sehingga 3000nits. Untuk saiz skrin yang kecil ini, semua kandungan kelihatan tajam walaupun hanya menggunakan 480P sahaja.

Namun saiz 44mm ini sebenarnya agak besar untuk tangan saya, ketika pertama kali memakainya saya terus kelihatan seperti kanak-kanak yang memakai jam G-Shock yang besar. Tali jam ini pun terlalu panjang sehinggakan saya perlu melaraskannya ke tahap yang paling ketat yang membuatkan tangan saya kurang selesa. Walaupun menggunakan saiz yang besar, berat untuk jam ini masih lagi terasa seperti jam tangan biasa.

Prestasi jam ini pula sangat-sangat baik. Dari awal saya buka kotak sehingga sekarang, tidak pernah lagi saya rasakan sebarang lag semasa menggunakan jam ini. Ini menunjukkan yang cip Snapdragon SW6100 Wear Elite sangat berkuasa untuk sebuah jam pintar. Kelancaran ini juga dibantu dengan antara muka One UI Watch 9 yang kelihatan sangat kemas dan minimal. Sebagai jam pintar untuk 2026, Google Gemini juga turut terbina dalam jam ini untuk memudahkan anda berinteraksi dengan AI ini.


Samsung Galaxy Watch9 ini agak penuh dengan ciri kesihatan. Saya ada cuba beberapa sukan sambil menggunakan jam ini seperti badminton dan berjalan. Ketika berjalan kiraan tapak yang dapat dikesan oleh jam ini sangat tepat dengan setiap langkah saya berjalan. Untuk sukan, seperti badminton ia mampu memberikan data yang lebih terperinci seperti kadar degupan dan nilai kalori yang hilang.

Saya menggunakan jam ini dengan peranti bukan dari Samsung dan secara ringkas saya boleh katakan ia agak renyah pada mulanya. Saya perlu memuat turun 2 aplikasi secara berasing untuk menggunakan jam ini sepenuhnya. Mungkin pihak Samsung boleh gabungkan 1 aplikasi sahaja untuk memudahkan pengguna yang tidak menggunakan telefon Samsung pada masa akan datang.

Dalam aplikasi Samsung Wearables, anda boleh menukar muka jam dengan pelbagai pilihan yang disediakan dan mengubah kedudukan untuk quick setting. Manakala dengan Samsung Health anda boleh memeriksa tahap kesihatan dengan lebih mendalam seperti aktiviti sukan yang dilakukan dan tidur.

Akhir sekali, sebagai jam pintar mercu, Samsung Galaxy Watch9 ini mempunyai storan dalaman sebesar 32GB yang membolehkannya untuk memuat turun aplikasi yang dikhaskan untuk jam pintar seperti Strava atau Whatsapp. Bercakap mengenai Whatsapp, anda juga boleh manaip terus dari skrin jam ini namun saya terasa amat pelik untuk menaip dari skrin kecil ini.

Bateri
Prestasi bateri pada Samsung Galaxy Watch9 ini merupakan satu kelemahan terbesar untuk saya. Dalam satu pengecasan penuh, ia boleh bertahan sekitar satu hari setengah sahaja dengan penggunaan yang normal dan jika anda melakukan aktiviti sukan bateri ini akan turun dengan lebih cepat. Saya boleh paksa untuk guna sehingga hari kedua namun baterinya memang akan tinggal nyawa-nyawa ikan sahaja.

Untuk pengecasan pun agak mengecewakan, dengan pengecas magnetik 10W yang dibekalkan. Jam ini memakan masa yang agak lama iaitu hampir 2 jam jika mengecas dari 0% sehingga penuh. Ini antara penyebab saya tidak berhijrah lagi ke jam pintar kerana ia mengubah rutin saya dengan agak drastik dimana saya perlu mengecas jam ini sebaik sahaja pulang ke rumah.
Ada Apa Dalam Kotak
Ini adalah apa yang ditawarkan dalam kotak Samsung Galaxy Watch9 apabila anda membelinya:
- 1x muka jam Samsung Galaxy Watch9
- 1x tali jam getah.
- 1x pengecas jam magnetik.
Kesimpulan
Samsung Galaxy Watch9 ini merupakan satu jam pintar yang berkuasa dan penuh dengan ciri-ciri yang bagus lebih-lebih untuk mereka yang selalu bersukan dan untuk memeriksa tahap kesihatan diri. Namun saya masih tidak boleh terima prestasi baterinya walaupun saya faham yang jam ini mempunyai banyak ciri aktif yang memakan bateri. Jika anda tidak terlalu kesah untuk melekat dengan pengecas jam ini, Galaxy Watch9 ini sememangnya sangat berkuasa untuk sebuah jam pintar.

PRO
- Rekaan minimalis dan mudah.
- Skrin terang dan cantik.
- Prestasi yang sangat lancar.
- Binaan premium dan tahan lasak.
- Sensor dan data yang direkodkan agak tepat.
KONTRA
- Bateri tidak tahan lama.
- Pengecasan agak perlahan.
- Saiz 44mm yang agak besar untuk saya.
