Dreame Batalkan Projek Kereta Roket dan Menarik Diri Daripada Pengeluaran EV
April lalu Dreame Nebula Next 01 Jet Edition diperlihatkan di San Francisco dengan ia merupakan sebuah kenderaan elektrik (EV) yang dilengkapi sistem tujahan jet. Dreame berkata kenderaan hiper ini boleh memecut daripada 0-100 km/j dalam masa 0.9 saat sahaja menggunakan dua enjin roket bahan api pepejal di bahagian belakang.

Tetapi kini pengeluaran Nebula Next 01 Jet Edition telahpun dihentikan dengan Dreame turut menarik diri daripada pengeluaran EV menurut laporan Elektrek. Seramai 1000 kakitangan Dreame yang terlibat dengan projek pembangunan EV dipercayai akan terjejas dengan penamatan projek.
Laporan menyebut pengumuman kereta hiper dan memasuki arena EV adalah sekadar usaha pemasaran dan pengumpulan dana oleh syarikat. Selepas ini syarikat akan hanya memberikan tumpuan kepada pengeluaran robot vakum dan beberapa lagi produk pintar untuk kegunaan dalam rumah.
Dreame menjadi sebuah lagi syarikat yang menguburkan aspirasi memasuki pasaran EV yang semakin kompetitif tahun ini. Honda dan Sony membatalkan projek EV mereka beberapa bulan lalu kerana cabaran pasaran yang semakin dikuasai oleh pengeluar China.