Redmi Note 17 Pro Max 5G Dilancarkan – Bateri 10,000mAh Dan Pengecasan Pantas 100W
Xiaomi secara rasmi melancarkan Redmi Note 17 Pro Max 5G di pasaran global termasuk Malaysia. Pelancaran ini menandakan kemunculan pertama siri Pro Max.

Peranti ini hadir dengan bateri 10,000mAh berasaskan teknologi silikon karbon yang mampu bertahan sehingga tiga hari dengan penggunaan biasa. Ia turut menyokong pengecasan pantas berwayar 100W yang membolehkan bateri peranti diisi semula untuk kegunaan seharian dalam masa hanya 20 minit.
Xiaomi turut menjelaskan kapasiti bateri akan kekal melebihi 80% walaupun selepas 1,600 kitaran pengecasan, bersamaan kira-kira enam tahun penggunaan. Selain itu, telefon ini menawarkan fungsi pengecasan berbalik berwayar sehingga 27W untuk mengecas semula peranti lain.

Skrin AMOLED berukuran 6.83 inci digunakan dengan resolusi 1.5K, kecerahan puncak 3,500 nits serta kadar segar semula 120Hz. Skrin ini turut melepasi pensijilan TÜV Rheinland bagi mod cahaya biru rendah dan bebas kerlipan. Ini dipadankan dengan cip Snapdragon 6 Gen 5 bersama memori 8GB RAM dan storan dalaman sehingga 512GB.

Sistem operasi HyperOS 3 melengkapkan pengalaman dengan fungsi kecerdasan buatan seperti AI Writing, AI Interpreter, AI Speech Recognition dan Creativity Assistant. Xiaomi turut menjanjikan enam tahun kemas kini keselamatan serta empat tahun naik taraf sistem operasi. Bahagian kameranya pula hadir dengan gabungan sensor utama 50MP bersama lensa ultra lebar 8MP, manakala kamera hadapan beresolusi 32MP.

Pratempahan peranti ini sudah dibuka namun harga jualan rasmi hanya akan diumumkan pada 2 September 2026. Sementara menanti tarikh tersebut, pelanggan boleh membuat pratempahan dengan deposit RM100 untuk menikmati diskaun eksklusif RM300 serta hadiah percuma berupa REDMI Headphones Neo dan Xiaomi Smart Band 9 Active. Lebih istimewa, setiap pembelian turut disertakan perlindungan jaminan premium sehingga 5 tahun yang merangkumi:
- Jaminan bateri selama 5 tahun.
- Perlindungan skrin selama 3 tahun.
- Perlindungan kerosakan cecair selama 2 tahun.
- Jaminan panel belakang selama 2 tahun.
- Jaminan kualiti selama 2 tahun.
Selain itu, pelanggan juga akan menerima faedah tambahan termasuk dua bulan langganan YouTube Premium dan enam bulan Google One dengan storan awanan 200GB.

Bagi meraikan pelancaran rasmi siri Redmi Note 17 di Malaysia serta pelantikan Meerqeen sebagai Duta rasmi, orang ramai dijemput hadir ke Xiaomi Store the Exchange TRX, Kuala Lumpur pada 5 September 2026 untuk acara “REDMI Boss for A Day: Meerqeen”. Pelanggan yang membuat pratempahan dan hadir mengambil peranti bermula jam 10 pagi berpeluang berjumpa secara langsung dengan Meerqeen. Slot adalah terhad dan diberikan berdasarkan siapa cepat dia dapat.