Plaud One Ialah Fon Telinga Pertama Dengan Sokongan eSIM
Effi Saharudin
Fon telinga yang boleh menyeru pembantu maya dan kecerdasan buatan (AI) sudah dipasarkan sejak tiga tahun kebelakangan ini. Ia masih memerlukan tambatan kepada telefon, tablet dan komputer untuk digunakan. Plaud One yang dilancarkan semalam ialah fon telinga pertama dengan eSIM membolehkan AI diakses secara terus.

Fon telinga dilengkapi pemandu 12mm dan setiap putik telinga hadir dengan ciri ANC. Selain itu ia boleh menyimpan rakaman sehingga 6 jam dengan sekali caj atau sehingga 25 jam dengan bantuan pod pengecas.
Pod pengecas merangkap pod simpanan mempunyai mikrofon yang boleh merakam percakapan dengan jelas dalam lingkungan 5 meter. Plaud One juga boleh berfungsi seperti speaker pintar dengan perbualan boleh dilakukan walaupun dengan kedua-dua fon telinga tersimpan di bahagian dalam. Lampu LED pada pod pengecas akan menyala semasa berinteraksi dengan pemilik.

Sistem AI Plaud boleh diakses terus menggunakan Plaud One dengan pembeli menerima 300 minit transripsi percuma setiap bulan. Selepas digunakan, pemilik boleh melakukan langganan untuk pelan berbeza bermula $8.33 sebulan. Plaud berkata mereka sedang membangunkan ciri mengakses ejen AI terus daripada fon telinga dengan arahan boleh diberikan menggunakan suara tanpa mengakses peranti fizikal.
Sebelum Plaud One, syarikat ini menawarkan pin pintar dan pek merakam audio yang dipasang pada bahagian belakang telefon pintar yang merakam perbualan sebelum menghasilkan transkripsi secara automatik. Sepasang Plaud One dijual pada harga $249 (~RM 1003) sepasang.