Kemaskini Terbaru Windows 11 Membolehkan Pengguna Mengubah Kedudukan Taskbar, Start Menu Lebih Kemas
Nazrin
Microsoft baru-baru ini telah memperkenalkan kemaskini kepada sistem operasi Windows 11 mereka, iaitu kemaskini KB5120998 yang memperkenalkan beberapa fungsi ubahsuai kepada visual sistem operasi tersebut.
Pertama ialah bahagian taskbar pada sistem operasi Windows 11 kini boleh diubah ke kedudukan lain. Selain dari di bawah skrin, ia kini boleh ditukar ke posisi kiri, kanan dan atas skrin, mengikut kesukaan anda. Cuma untuk mengubahnya, anda akan perlu memasuki menu Settings > Personalization > Taskbar > Taskbar behaviors > Taskbar position selepas anda memuat-turun kemaskini Windows 11 yang terbaru ini.

Selain daripada itu, anda juga boleh menukar saiz taskbar dan juga menu carian, akan tetapi pertukaran saiz ini hanya disokong apabila taskbar ditetapkan pada posisi atas atau bawah desktop sahaja. Tetapan ini boleh ditukar dengan memasuki menu Settings > Personalization > Taskbar > Taskbar behaviors > Taskbar size.
Bahagian Start Menu juga telah memperlihatkan beberapa kemaskini baru, termasuklah perubahan saiz Start Menu untuk menjadi lebih besar ataupun kecil. Anda juga kini diberi pilihan untuk menyorokkan nama dan ikon profil akaun, dan pengubahsuaian perisian-perisian yang boleh ditunjukkan pada Start Menu secara lebih meluas. Untuk ini, anda hanya perlu ke menu Settings > Personalize > Start selepas memuat-turun kemaskini Windows 11 terbaru.
Beberapa kemaskini lain juga telah diperlihatkan sepertii carian yang lebih kemas, File Explorer yang lebih pantas dan sebagainya. Kemaskini Windows 11 KB5120998 telahpun mula diperkenalkan secara berperingkat kepada pengguna-pengguna sekarang. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenainya, anda boleh melawati pautan di bawah.
Sumber: Microsoft