Monitor Gaming Samsung Odyssey 2027 Diperlihatkan Di Gamescom
Nazrin
Siri paparan gaming Samsung Odyssey adalah sebuah perkakasan pelengkap yang membolehkan anda melihat dan menikmati kemampuan sebenar komputer gaming yang anda bina sendiri, dengan pelbagai penawaran yang sesuai dengan keperluan dan kehendak anda.

Di acara Gamescom yang sedang berlangsung pada minggu ini, Samsung telah memperlihatkan empat buah paparan skrin gaming Samsung Odyssey baharu yang merupakan sebahagian daripada siri Samsung Odyssey 2027 yang akan dilancarkan kelak. Keempat-empat model paparan skrin ini termasuklah Samsung Odyssey OLED G9 G95SJ, Samsung OLED G8 G80SJ, Samsung OLED G7 G75SJ dan Samsung G6 G60H. Seperti yang dapat dibaca pada nama, tiga daripada paparan skrin ini menggunakan paparan OLED, manakala paparan Samsung G6 menggunakan panel IPS dengan kemampuan mengolah kadar segar semula tinggi.

Bermula dengan Samsung Odyssey OLED G9 G95SJ, paparan skrin QD-OLED generasi kelima ini hadir dengan rekaan ultra-lebar dengan saiz 49 inci dengan resolusi 5120×1440 dengan kadar segar semula 360Hz ataupun 2560×720 dengan kadar segar semula 720Hz. Paparan ini juga hadir dengan nilai kecerahan setinggi 1300 nits dan kelajuan pertukaran warna GTG (grey-to-grey) dilihat serendah 0.03 saat.
Samsung OLED G8 G80SJ pula menggunakan panel OLED yang sama dengan Odyssey G9 pada saiz 32 inci dengan resolusi 4K360Hz pada tetapan tertinggi, dan juga hadir dengan dua gabungan resolusi yang lain, termasuklah QHD dengan kadar segar semula 520Hz dan Full HD dengan kadar segar semula 680Hz.

Ciri-ciri lain termasuklah sokongan untuk palam DisplayPort 2.1 UHBR20, USB Type-C dengan sokongan pengecasan 98W, sokongan suis KVM, DisplayHDR True Black dan juga teknologi paparan AMD FreeSync Premium dan NVIDIA G-SYNC.

Jika paparan gaming bersaiz televisyen apa yang anda mahukan, Samsung OLED G7 G75SJ mungkin apa yang anda mahukan. Ia tampil dengan panel OLED dengan saiz 42 inci pada resolusi 4K dengan kadar segar semula 165Hz dan sedikit melengkung pada kadar lengkungan 1000R. Paparan skrin ini sesuai bukan sahaja untuk komputer, tetapi juga konsol permainan moden seperti Sony PlayStation 5 dan juga Xbox Series X.

Paparan terakhir yang diperkenalkan ialah Samsung Odyssey G6 G60H. Seperti yang dikatakan, ia menggunakan panel IPS bersaiz 27 inci dengan resolusi QHD dan tampil dengan kadar segar semula sepantas 600Hz pada resolusi tersebut, dan Full HD pada kadar segar semula 1100Hz.
Paparan-paparan skrin gaming ini semuanya hadir dibawah payung pelancaran tahun 2027, jadi jangkaannya ialah Samsung hanya akan mula menjual paparan-paparan ini pada penghujung tahun ini ataupun pada awal tahun hadapan. Buat masa ini, tarikh pelancaran dan tanda harga untuk paparan-paparan ini tidak diketahui lagi.
Sumber: Samsung