Google Pics Dilancarkan Untuk Janaan dan Suntingan Gambar Menggunakan Nano Banana
Effi Saharudin
Google Pics dilancarkan sebagai sebuah lagi perkhidmatan janaan imej menggunakan kecerdasan buatan (AI) Nano Banana. Ia perkhidmatan yang berasingan dengan Google Photos dan Google Gemini yang turut mempunyai ciri janaan serta suntingan imej.
Google Pics boleh menjana imej menggunakan prom yang dimasukkan pengguna. Setiap elemen dalam imej yang dijana kemudian boleh dipisahkan dan diperhalusi dengan prom tambahan. Ini memudahkan proses mengubah hasil janaan yang selama ini sukar dikawal.

Selain elemen grafik, elemen teks juga boleh diubah secara berasingan lengkap dengan ciri mengalih bahasa untuk menghasilkan lebih daripada satu versi grafik bagi tujuan pengiklanan misalnya. Dengan Pics, isu elemen bendera yang salah dan teks yang caca merba janaan AI dapat dielakkan sebelum menyebabkan kesipuan apabila tular.
Ia menyokong integrasi dalam aplikasi Google Workspace (Docs, Slides, dan akan datang Drive) supaya pengguna boleh menyunting imej terus dalam dokumen kerja. Buat masa ini hanya untuk pelanggan Google AI Pro dan Google AI Ultra, serta kebanyakan pelanggan perniagaan Google Workspace. Google Pics sudah boleh digunakan bermula hari ini.