Vivo X500 Pro Max Masih Meneruskan Rekaan Mirip Model Terdahulu
Amy Maizuraa
Siri Vivo X500 menjadi antara peranti premium yang dinantikan kemunculannya khususnya bagi peminat fotografi mudah alih. Untuk kali ini, vivo akan memperkenalkan model Pro Max sebagai versi paling premium dalam siri tersebut. Fungsi yang dibawanya sudah mula diperlihatkan sedikit demi sedikit sebelum ini dengan ciri kamera lebih berkuasa bagi memberikan pengalaman penggunaan yang lebih mengagumkan.

Kini giliran rekaannya pula yang menjadi perhatian apabila Vivo masih mengekalkan DNA yang sama dengan siri X sebelum ini. Hal ini dapat dilihat dengan jelas melalui poster terkini yang diterbitkan di Weibo yang turut mendedahkan tarikh pelancaran rasmi peranti ini pada 21 September 2026. Melihat pada rekaan tersebut jelas menunjukkan Vivo konsisten dengan modul kamera bulat besar bersama penjenamaan ZEISS sebagai identiti utama.

Melaluinya X500 Pro Max turut hadir dengan tubuh berkotak yang digabungkan dengan sisi melengkung sepenuhnya. Reka bentuk ini dipadankan dengan bonggol kamera bulat besar yang sinonim dengan siri X sejak beberapa generasi sekali gus menjadi titik fokus utama rekaan. Logo ZEISS jelas terpampang dan menekankan kerjasama antara kedua-dua syarikat yang kini menjadi identiti utama siri ini.
Susunan pelbagai lensa yang dijangka terdiri daripada sensor utama, telefoto, ultra-lebar serta sensor tambahan dengan kesemuanya ditempatkan dalam satu modul bulat. Kemasan dengan kerangka logam di sekeliling modul kamera bersama pilihan warna menarik seperti perak dan jingga turut menambah nilai eksklusif pada peranti. Menariknya lagi, X500 Pro Max juga akan menyokong lensa telephoto tambahan 400mm yang turut diperlihatkan melalui imej promosi yang sama.