Apple AirPods 5 Dilancarkan Dengan ANC Lebih Baik – Harga Bermula RM599
Apple telah melancarkan AirPods 5 sebagai generasi baharu dalam segmen aksesori audio sebentar tadi. Ia hadir dalam dua versi iaitu satu dengan pod pengecas USB‑C dan satu lagi dengan pod pengecas nirwayar yang turut menawarkan kawalan sentuh pada bahagian pemegang. Kedua-duanya dilengkapi dengan teknologi pembatalan hingar aktif (ANC) yang dikatakan sehingga 1.5 kali lebih berkesan berbanding model terdahulu.

AirPods 5 juga hadir dengan dua mikrofon terbina yang direka sebaiknya untuk menjadikan panggilan lebih jelas. Ini dipadankan sistem audio baharu yang mampu menghasilkan bunyi lebih terperinci bersama sokongan Adaptive EQ generasi baharu serta fungsi Personalized Spatial Audio.

AirPods 5 turut menawarkan beberapa mod audio tambahan seperti Adaptive Audio, Conversation Awareness dan Transparency Mode yang secara automatik mengurangkan bunyi apabila pengguna mula bercakap. Kawalan juga lebih mudah dengan adanya fungsi sentuhan untuk menjawab panggilan, menukar mod, dan melaras audio khusus bagi model dengan pod pengecas nirwayar.

AirPods 5 juga hadir dengan bateri berbeza mengikut jenis. Model dengan pod pengecas USB‑C boleh digunakan sehingga 4 jam dengan ANC untuk sekali cas. Versi dengan pod pengecas nirwayar pula mampu bertahan sehingga 5 jam dengan ANC dan sehingga 22 jam keseluruhan. Ia turut menyokong Find My dengan pembesar suara terbina bagi membantu mencari lokasi, serta mempunyai ketahanan kalis air IP57.

Di Malaysia, AirPods 5 dijual bermula pada harga RM599 untuk versi dengan pod pengecas USB‑C, manakala versi dengan pod pengecas nirwayar pula ditawarkan pada harga RM699. Pratempahan dibuka mulai 11 September, sementara itu jualan rasmi akan bermula pada 18 September.
Beli – Buy AirPods 5