Grab Dilaporkan Ingin Membeli Pegangan Majoriti Pada Atome
Grab kini dilaporkan sedang dalam perbincangan untuk membeli pegangan majoriti pada platform bayar nanti pakai lekas (BNPL), Atome Financial. Pembelian pegangan majoriti ini dijangka menilaikan Atome ini sekitar lebih $2 bilion.

Atome pada hari ini sedia diintegrasikan pada pelbagai perkhidmatan edagang, dan digunakan secara meluas. Atome merupakan ringkasan kepada “Available To Me”, membolehkan orang ramai melakukan pembelian dengan bayaran ansuran – terutamanya melibatkan barangan gaya hidup dan fesyen.
Bloomberg melaporkan kedua-dua pihak masih sedang aktif dalam perbincangan untuk transaksi ini, dan tiada sebarang komen rasmi dikeluarkan buat masa ini.
Grab kebelakangan ini agak aktif melabur pada sejumlah syarikat memfokuskan perkhidmatan swapandu dan roboteksi. Disamping itu, Grab turut telah mengambil-alih operasi FoodPanda di Taiwan, dan turut mengambil-alih syarikat kewangan Stash Financial di Amerika Syarikat. Pengambil-alihan Atome ini dilihat akan melengkapkan lagi portfolio Grab, dan memperkukuhkan lagi kedudukan mereka dalam arena BNPL dan kewangan di Asia Tenggara.