Profil YouTube Di Aplikasi TV Kini Boleh Dikunci Dengan Nombor Pin
Effi Saharudin
Di rumah, saya mengarahkan anak hanya menggunakan aplikasi YouTube di TV pintar menggunakan profil peribadi. Profil ini telah ditapis supaya hanya memaparkan kandungan yang sesuai dengan usia beliau. Anak saya berdisiplin maka akaun saya tidak digunakan tanpa kebenaran. Tetapi jika tidak mahu profil peribadi diakses tanpa kebenaran, Google akhirnya memperkenalkan ciri yang menguncinya.

Profil kini boleh dikunci menggunakan nombor pin 4 digit. Selepas dikunci ia tidak lagi boleh diakses tampa kebenaran. Setiap kali digunakan nombor perlu dimasukkan secara manual atau dinyahkunci menerusi telefon pintar.
Ciri boleh digunakan dengan mengikut langkah di bawah.
- Buka aplikasi YouTube pada TV dan pilih akaun di menu kiri .
- Tekan Settings di bawah akaun .
- Ikuti arahan skrin untuk aktifkan Account Lock dan tetapkan kod 4 digit .
- Untuk membuka kunci, gunakan aplikasi YouTube pada telefon. Prom menyahkunci atau notifikasi akan diterima untuk mengakses profil.
Sekiranya anda terlupa kod pin, terdapat pilihan melakukan tetapan semula yang memerlukan kata laluan dimasukkan semula. Walaupun ciri telah diumumkan, kami belum menerimanya pada apliksi YouTube untuk Google TV, Tizen dan Apple TV di rumah semasa artikel ditulis.