Apple Akan Lancarkan Dua Alat Kawalan Permainan Di Bawah Jenama Beats
Effi Saharudin
Apple akan melancarkan dua alat kawalan permainan di bawah jenama Betas menurut laporan Bloomberg. Kod dalam macOS Beta menunjukkan dua alat kawalan dengan nama kod T6502 dan T1057 sedang dibangunkan.

Alat kawalan akan mempunyai butang D-Pad, kayu analog, sokong girometer, accelerometer dan motor haptik. Dengan alat kawalan tersediri, Apple tidak lagi perlu bergantung kepada alat kawalan pihak ketiga seperti Dual Sense dan aksesori seperti Blackbone One yang dipaparkan dalam imej promosi.
Pengenalan alat kawalan tersendiri adalah selari dengan laporan Apple ingin lebih serius memasuki arena permainan video. Usaha sulung mereka Pippin pada tahun 1996 gagal mendapat sambutan dengan pengeluaran dihentikan pada tahun 1998 dengan kurang 100,000 unit dijual.
iPhone sudah boleh menjalankan permainan tahap konsol dan begitu juga sokongan permainan lebih baik pada peranti Apple Silicon. Di masa hadapan, mungkin Apple TV dengan cip lebih berkuasa boleh berfungsi sebagai konsol selain menjadi hab hiburan di rumah. Alat kawalan jenama Beats ini akan membolehkan peranti sedia ada dijadikan mesin permainan video dengan ekosistem lengkap.