Pembangunan Steam Deck 2 Masih Diteruskan – Tidak Terjejas Dengan Isu Komponen Memori
Nazrin
Pada pertengahan tahun ini, ia telah dilaporkan bahawa Valve akan memulakan proses pembangunan konsol permainan mudah-alih generasi kedua mereka, Steam Deck 2 dan jangkaan mereka ialah konsol tersebut akan diperkenalkan sekitar tahun 2028 kelak.
Pierre-Loup Griffais and Jeff Leinbaugh, jurutera perisian di Valve telah ditemubual oleh IGN, dan ditanya sekiranya isu bekalan komponen memori sedang memberi masalah kepada mereka sewaktu mereka membangunkan konsol baru ini, khususnya dengan konsol permainan Steam Machine kini dilaporkan menghadapi kesukaran untuk dibeli sehingga 2027 kelak.

Mereka menjawab bahawa setakat ini, mereka tidak menghadapi sebarang masalah berkaitan dengan komponen memori, dan konsol tersebut sedang dibangunkan untuk membolehkannya mencapai tahap prestasi yang dikehendaki. Tidak banyak butiran yang diketahui mengenai cip pemprosesan yang digunakan untuk menguasakan Steam Deck 2, tetapi jika maklumat sebelum ini tidak berubah, ia mungkin menggunakan cip pemprosesan AMD APU sedia-ada yang membolehkan konsol ini dibangunkan pada kadar lebih pantas.
Steam Deck pertama dikuasakan oleh cip pemprosesan “Aerith” yang dihasilkan dengan kerjasama bersama AMD, sebelum AMD memperkenalkan siri cip pemprosesan AMD Ryzen Z1 dan Z1 Extreme, yang kini hadir dalam pilihan generasi kedua Ryzen Z2 dan Z2 Extreme.
Sayangnya mereka tidak memberitahu bilakah kita boleh menjangkakan butiran lanjut mengenai Steam Deck 2 akan diperkenalkan. Melhat kepada sektor peranti sekarang dan juga bagaimana Steam Machine hadir dengan tanda harga yang agak mahal, jangkaannya ialah ia tidak akan menjadi sebuah peranti gaming kelas mampu-milik. Steam Frame juga baru sahaja mula dijual bermula hari ini pada harga $1049.
Sumber: IGN