CEO Acer Menjangkakan Harga PC Akan Semakin Meningkat Sehingga Pertengahan 2027
Nazrin
Harga komponen-komponen komputer, khususnya memori dan storan dilihat semakin meningkat setiap minggu, dengan laporan-laporan mengatakan bahawa bekalan memori untuk tahun 2027 sudahpun habis diperoleh oleh banyak syarikat-syarikat pengeluar peranti elektronik dan pintar dan juga syarikat-syarikat pengeluar perkakasan AI.
Baru-baru ini, Jason Chen, CEO dan pengerusi syarikat pengeluar perkakasan komputer Acer Inc. telah mengatakan bahawa beliau menjangkakan bahawa harga komputer desktop dan komputer riba akan semakin meningkat dengan kemuncaknya pada pertengahan tahun 2027 sebanyak lima ke 20 peratus sebelum ia menyusut selepas tempoh waktu tersebut.

Beliau mengatakan bahawa sebab utama mengapa tanda harga komputer akan terus menaik bukanlah kerana bekalan komponen yang tidak mencukupi, tetapi tanda harga yang dijangka tidak akan turun sehingga pertengahan ataupun penghujung tahun hadapan. Jason Chen berkata bahawa dari segi bekalan, sekurang-kurangnya Acer mempunyai inventori komponen memori dan storan yang mencukupi untuk penawaran komputer mereka pada tahun ini dan juga tahun hadapan.
Selain daripada harga komponen, kos yang meningkat sepanjang rantaian bekalan penerimaan dan penghantaran barangan juga menjadi salah satu sebab mengapa tanda harga sektor perkomputeran akan semakin meningkat, sebelum ia dijangka menurut secara berkala menjelang pertengahan ke penghujung tahun hadapan.
Bercakap tentang kekurangan bekalan komponen sehingga 2030, Jason Chen mengatakan bahawa perkara tersebut adalah mustahil kerana semua syarikat-syarikat pengeluar komponen cip memori dan storan sedang menambah kapasiti pengeluaran komponen tersebut, khususnya syarikat-syarikat dari China seperti CXMT dan YMTC.
Sumber: UDN