CXMT Dilaporkan Mahu Memasuki Arena Pengeluaran Komponen NAND Pula
Nazrin
ChangXin Memory Technologies atau dikenali sebagai CXMT adalah syarikat teknologi pengeluar komponen memori dari China yang mencatatkan peningkatan perniagaan yang sangat mendadak, dimana mereka kini telah memintas Tencent sebagai syarikat yang paling bernilai di China.
Syarikat tersebut dilaporkan sedang dalam proses untuk membina barisan pengeluaran penyelidikan di kilang terbaru mereka di Beijing untuk menghasilkan komponen cip NAND pula, yang secara lazimnya digunakan untuk storan flash seperti SSD.
CXMT sudahpun membuka pusat penyelidikan R&D mereka sendiri di Beijing, dan pembangunan komponen NAND merupakan salah satu penyelidikan yang sedang dijalankan, untuk menandingi syarikat-syarikat seperti Samsung dan YMTC yang juga merupakan nama-nama besar dalam sektor storan flash.

Menariknya, kedua-dua syarikat CXMT dan YMTC sebelum ini dilihat sebagai dua syarikat pengeluar komponen memori dan storan dari China yang dilihat akan membantu China menghadapi kebuntuan keperluan komponen-komponen memori dan storan, tetapi mereka nampaknya akan melanjutkan perniagaan mereka untuk mengeluarkan kedua-dua komponen tersebut secara sekaligus.
Walaupun komponen NAND CXMT ini masih lagi berada dalam fasa penyelidikan, ia juga dilaporkan bahawa para pelanggan syarikat tersebut sudahpun dalam perbincangan untuk membeli komponen-komponen tersebut untuk menguasakan supercomputer dan mesin pelayan AI di masa hadapan kelak.
Perkara ini dijangka akan mengambil masa mungkin beberapa tahun lagi kerana setakat ini, barisan pengeluaran tersebut belum lagi dibina, dan ia tidak diketahui lagi bilakah ia akan mula beroperasi, dan sejauh manakah penyelidikan komponen NAND oleh CXMT sudahpun dimulakan.
Sumber: Reuters