Huawei Watch GT7 Bakal Tiba Di Malaysia Pada 29 September – Tempahan Awal Dibuka Dengan Deposit RM100
Amy Maizuraa
Huawei mengesahkan pelancaran rasmi jam tangan pintar terbaharu Huawei Watch GT7 di Malaysia yang dijadualkan berlangsung pada 29 September 2026. Dengan tagline “Chase the Wild”, jelas menunjukkan bahawa jam tangan ini akan menyasarkan gaya hidup aktif, serta memberi penekanan terhadap kebebasan aktiviti di luar rutin harian.

Siri ini boleh terdiri daripada dua model berbeza seperti Pro dan standard, dengan kedua-dua ciri dan fungsi sudah disenaraikan di laman web rasmi. Huawei Watch GT 7 Pro menampilkan rekaan premium dengan rangka titanium, bezel seramik dan skrin kaca nilam 1.47 inci 3000 nits. Baterinya boleh bertahan sehingga 21 hari (penggunaan ringan), 12 hari (biasa) dan 51 jam (mod larian denai) dengan pengecasan penuh hanya 95 minit melalui Huawei Wireless SuperCharge. Perkara penting adalah ia menyokong komuniti kesihatan untuk berkongsi data dengan keluarga dan kajian risiko diabetes bersama Universiti Malaya.

Huawei Watch GT7 turut menawarkan kebanyakan ciri hebat daripada Pro, termasuk fungsi diabetes, serta tumpuan pada Physical Readiness Score, HRV, pemantauan tidur dan tekanan, dan aplikasi kesejahteraan emosi. Reka bentuknya lebih ringan dengan pilihan warna bergaya yang menarik, manakala skrinnya masih terang dan jelas untuk kegunaan harian. Tempahan awal di Malaysia sudah mula dibuka sekarang dengan deposit RM100 tanpa harga rasmi yang hanya akan diketahui pada pelancaran rasmi kelak.