Ulasan Nothing Phone (4b) – Impak Minima
Nothing Phone (4b) dilancarkan di Malaysia hujung minggu lalu sebagai peranti kelas pertengahan mampu milik dalam pasaran yang kini dibanjiri telefon pada harga yang mencanak naik disebabkan oleh krisis RAM global. Mereka berjaya menawarkan peranti kelas pertengahan pada harga yang mampu milik tetapi apakah pengorbanan yang dilakukan bagi mencapai sasaran ini?

Spesifikasi
| Nothing Phone (4b) | |
|---|---|
| Skrin | 6.77″ AMOLED 120Hz HDR10+, 2000 nit |
| Pemproses | Snapdragon 6 Gen 4 (4nm) |
| Cip | 1 x 2.3 GHz Cortex-720 4 x 2.2 GHz Cortex-720 3 x 1.8 GHz Cortex-520 |
| Cip Grafik | Adreno 810 |
| RAM | 8GB LPDDR5X |
| Muatan Dalaman | 128 GB UFS 2.2 |
| Kamera Utama | 50 MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 8 MP, f/2.2 (Ultra Lebar) |
| Kamera Swafoto | 12MP f/2.2 |
| Bateri | 5200 mAh Berwayar 33W |
| SIM/Telefoni | 2 Nano 5G |
| NFC | Ya |
| Bicu Audio | Tiada |
| Kalis Air | IP64 |
| Sistem Imbasan | Pengimbas cap bawah skrin |
| Harga Jualan | RM 1599 (8/128GB) |
SKRIN dan REKAAN
Skrin hanya sebesar 6.77″ dari jenis AMOLED dengan resolusi FHD dan sokongan 120Hz. Skrin bukan cari jenis LTPO dengan kadar segar semula berubah antara 60Hz, 90Hz dan 120Hz bergantung kepada aplikasi. Skrin adalah rata tetapi tidak mempunyai saiz bezel sekata. Ia lebal di bahagian dagu dan dahi membuatkan ia tidak kelihatan simetri.

Skrin boleh mencapai keterangan puncak 2000 nit yang cukup terang untuk digunakan di bawah cahaya matahari yang terik. Tetapi sistem HDR pada Netflix tidak boleh digunakan. Setakat ini HDR hanya berfungsi di YouTube,
Skrin mengesan setiap sentuhan dengan baik dan tiada sebarang isu semasa digunakan. Sebuah pengimbas cap jari optikal diletakkan di bawah skrin. Lokasi pengimbas cap jari adalah agak rendah membuatkan ia kurang ergonomik. Imbasan masih lagi pantas dan terdapat juga pilihan imbasan menggunakan wajah.

Tubuh mempunyai bingkai logam yang juga rata. Ia terasa selesa di dalam tangan dengan tubuh Phone (4b) adalah terasa agak berat memberikan pengalaman premium tidak terasa seperti sebuah peranti yang murah.
Terdapat butang kuasa dan laras audio pada sisi kanan sementara di bawah diletakkan salah satu speaker stereo, port pengecasan USB-C dan talam SIM. Talam SIM menyokong dua SIM bersaiz nano tetapi tiada sokongan eSIM. Pada sisi kiri pula diletakkan Essential Key untuk melakukan tangkapan layak yang kemudiannya disimpan dalam Essential Space.

Elemen paling menarik pada peranti Nothing pastinya panel belakang dengan sistem lampu Glyph Bar. Saya akui sistem lampu yang dipinjam daripada Phone (4a ) adalah tidak menarik. Lebih-lebih lagi apabila melihat sistem lampu asal pada Phone (1) dan Phone (2). Jumlah lampu semakan berkurangan dan tidak lagi unik.
Ia kini hanya sekadar lampu notifikasi berkelip yang boleh juga digunakan sebagai lampu suluh. Pada Phone (1) dan Phone (2), lampu glyph boleh digunakan sebagai fill light kerana ia cukup terang. Rekaan dua peranti terawal ini tidak akan kembali kerana Nothing menggunakan skrin di bahagian belakang pada peranti lebih premium.

Dwi-kamera sudut lebar 50MP dan ultra lebar 8MP diletakkan dalam bonggol plastik. Elemen grafik futuristik yang menjadi identiti Nothing kini semakin minimalis. Kenapa ia dilakukan? Saya tak ada jawapannya tetapi saya percaya ia mungkin berkait rapat dengan pengurangan kos.
Malang sekali kerana tanpa lampu glyph yang besar dan elemen grafik cyberpunk, Phone (4b) tidak menawarkan keunikan seperti peranti-peranti awal mereka. Di hadapan diletakkan kamera swafoto 12MP dalam lubang kamera.

Bateri adalah sebesar 5200 mAh yang adalah yang terbesar pernah digunakan Nothing, Sedikit kecewa versi 6000 mAh hanay dijual di China. Pengecasan hanya secara berwayar 80W tetapi pengecas tidak disertakan di dalam kotak. Akhir sekali peranti melepasi piawaian IP65 dan ditawarkan dalam warna putih, hitam dan biru.
PENGGUNAAN Dan PERISIAN
Sistem operasi Nothing OS 4 berasaskan Android 17 digunakan dengan ia membawakan antaramuka yang paling unik pada telefon pintar moden. Ketika semua pengeluar ingin meniru Liquid Glass daripada iOS, Nothing kekal dengan antaramuka digital seakan paparan dot matriks mereka yang unik. Bagi mereka yang bosan dengan UI yang sama merentasi peranti dengan pengeluar berbeza, Nothing OS memberikan kelainan yang memecahkan kebuntuan.

Malahan Nothing OS yang mempopularkan antaramuka monokrom dan rekaan widget besar pada iOS dan Android jauh lebih awal. Nampak sangat minimalis, futiristik dan cool bagi mereka yang berjiwa mudah. Saya insan yang usianya hampir lima dekad dan walaupun saya akui antaramuka Nothing sangat menarik ia kurang serasi dengan jiwa serta mata saya. Dalam mod monokrom sukar membezakan ikon aplikasi. Nasib baik tema berbeza dan mod ikon berwarna disertakan.

Sistem operasi ini lancar walaupun Phone (4b) sekadar dilengkapi 8GB RAM yang adalah kecil untuk peranti moden. Jika RAM tambahan diperlukan, RAM Booster boleh diaktifkan dengan penambahan sehingga 8GB RAM. Saya tidak boleh sarankan RAM Booster digunakan pada Phone (4b) kerana ia sekadar mempunyai storan 128GB yang adalah kecil.
Ini ialah saiz storan yang semakin pupus pada peranti kelas pertengahan. Hanya peranti kelas permulaan sahaja ditawarkan dalam saiz ini kerana ia mempunyai slot kad micro SD. Di sini masalah muncul kerana Phone (4b) tidak menyokong kad micro SD. Krisis memori dan storan menyebabkan RAM Booster menjadi liabiliti khususnya apabila storan peranti semakin penuh.

Ciri kecerdasan buatan (AI) yang diberikan pula ialah Essential Space yang melalukan tangkapan skrin dan kemudian mengingati maklumat terkandung yang boleh dicari dengan kata kunci, janaan imej latar belakang, widget audio membaca berita janaan AI, sokongan ChatGPT dan Essential Voice yang menghasilkan transkrip audio. Dalam banyak-banyak ciri ini ciri janaan imej latar belakang adalah paling menarik bagi saya kerana ia tidak nampak seperti AI slop apabila AI generatif digunakan.
Nothing memberikan sokongan 3 versi Android dan tampalan sekuriti selama 6 tahun untuk Phone (4b), Sokongan yang agak singkat tetapi dirasakan setanding dengan harga jualan peranti.
PENANDA ARAS
Snapdragon 6 Gen 4 digunakan pada telefon ini dengan ia dipadakan dengan 8GB RAM dan storan 128GB. Maka ia dibandingkan dengan beberapa peranti dengan cip di bawah.
- Realme C100 – Dimensity 6300 (6nm)
- Samsung Galaxy A37 5G – Exynos 1480 (4nm)
- Honor 600 Lite – Dimensity 7100 Elite (6nm)
- Infinix Note Edge – Dimensity 7100 (6nm)
- Nothing Phone (3a) – Snapdragon 7s Gen 3 (4nm)
AnTuTu 3D
| Peranti | Skor |
| Nothing Phone (4b) | 979,880 |
| Realme 16 5G | 531,226 |
| Realme C100 | 577,629 |
| Samsung Galaxy A37 5G | 1,059,377 |
| Honor 600 Lite | 726,401 |
| Infinix Note Edge | 805,806 |
| Nothing Phone (3a) | 803,992 |
Geekbench 6
| Peranti | Satu Teras | Multi Teras |
| Nothing Phone (4b) | 949 | 3106 |
| Realme 16 5G | 801 | 1902 |
| Realme C100 | 663 | 1758 |
| Samsung Galaxy A37 5G | 1138 | 3489 |
| Honor 600 Lite | 867 | 2660 |
| Infinix Note Edge | 972 | 2827 |
| Nothing Phone (3a) | 1146 | 3123 |
3DMark Wildlife Extreme
| Cip | Skor |
| Nothing Phone (4b) | 948 |
| Realme 16 5G | 381 |
| Realme C100 | 383 |
| Samsung Galaxy A37 5G | 1042 |
| Honor 600 Lite | 640 |
| Infinix Note Edge | 692 |
| Nothing Phone (3a) | 1043 |
Prestasi dalam penggunaan harian adalah sederhana. Menjalankan aplikasi lazim adalah lancar tanpa masalah. Hanya mula mengesan sedikit rasa perlahan apabila menjalankan permua yang berat. Saya gunakan COD Mobile sebagai penanda aras prestasi kerana sudah dimainkan bertahun lamanya. Permua hebat ini hanya boleh dijalankan dengan lancar pada tetapan tinggi tetapi menjadi sedikit tersekat dalam peta yang besar.
Markah yang dicatatkan Snapdragon 6 Gen 4 adalah jauh lebih rendah berbanding Apple A20, Snapdragon 8 Gen 5 dan Dimensity 9500. Maka prestasi Snapdragon 6 Gen 4 harus dilaraskan dengan realiti.
Realitinya pemproses kelah pertengahan rendah, memori kecil dan storan kecil UFS 2.2 menyebabkan Phone (4b) tidak selancar yang diharapkan. UFS 2.2 adalah perlahan dengan ia dapat dilihat apabila cuba memasang fail aplikasi yang besar dan kelajuan muat turun dihadkan oleh kelajuan storan yang kurang memuaskan.
KAMERA
Seperti cip pemproses, kamera pada Phone (4b) juga sekadar sederhana. Kamera utama 50MP dan 8MP dipadankan dengan kamera swafoto 12MP. Bukan sensor terbesar dan bukan juga kombinasi sensor yang menakjubkan.
Gambar hanya memuaskan dalam situasi cukup pencahayaan. Objek nampak terang dan tajam. Tiada isu sumber cahaya nampak pecah cuma saya sedari warna agak kekuningan. Lensa ultra lebar juga sederhana kerana sekadar 8MP. Gambar diambil nampak kurang tajam lebih-lebih lagi pada waktu malam.
Prestasi mod malam juga tidak memberangsangkan walaupun kamera utama mempunyai sistem OIS. Pada waktu malam apabila zum dilakukan, kualiti gambar yang ditangkap sekali lagu kurang memuaskan.






Berikut pula ialah gambar yang diambil pada tetapan zum 1x, 2X, 5x, dan 10x sahaja. Tahap zum yang terhad. Selepas gambar diambil barulah saya tahu kenapa ia dihadkan. Pada tetapan 10X gambar ditangkap pecah, tidak tajam dan warna mula lari daripada keadaan sebenar. Saya hanya kongsikan zum pada waktu siang kerana pada waktu malam, kualiti zum hanya saya rasakan boleh diterima 2x sahaja.




BATERI
Bateri 5200 mAh adalah yang terbesar pernah digunakan Nothing dengan pengecasan 33W. Dalam penggunaan sederhana ia boleh bertahan sepanjang hari dengan SOT sekitar 11 jam. Pengecasan semula mengambil masa sekitar 90 minit dengan pengecas 33W. Agak perlahan kerana saiz bateri yang besar. Pengecas tidak disertakan dengan setiap pembelian.
PESAING

| Nothing Phone (4b) | Honor 600 | Realme 16 Pro+ |
| 6.77″ AMOLED 120Hz HDR10+, 2000 nit | 6.57″ AMOLED 120Hz HDR Vivid, 8000 nit | 6.8″ AMOLED, 144Hz HDR10+, 6500 nit |
| Snapdragon 6 Gen 4 (4nm) 1 x 2.3 GHz Cortex-720 4 x 2.2 GHz Cortex-720 3 x 1.8 GHz Cortex-520 | Snapdragon 7 Gen 4 (4nm) 1 x 2.8 GHz Cortex-720 4 x 2.4 GHz Cortex-720 3 x 1.8 GHz Cortex-520 | Snapdragon 7 Gen 4 (4nm) 1 x 2.8 GHz Cortex-720 4 x 2.4 GHz Cortex-720 3 x 1.8 GHz Cortex-520 |
| Adreno 810 | Adreno 722 | Adreno 722 |
| 8 GB LPDDR5X | 12 GB LPDDR5X | 12 GB LPDDR5X |
| 128 GB UFS 2.2 | 512 GB UFS 3.1 | 512 GB UFS 3.1 |
| Kamera Utama 50 MP, f/1.8, OIS (Sudut Lebar) 8 MP, f/2.2 (Ultra Lebar) | Kamera Utama 200 MP, f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 12 MP, f/2.2 (Ultra Lebar) | Kamera Utama 200MP f/1.9, OIS (Sudut Lebar) 8MP f/2.2 (Ultra Lebar) 50MP f/2.8, OIS (Telefoto 3.5X) |
| Kamera Hadapan 16 MP f/2.4 | Kamera Hadapan 50 MP f/2.0 | Kamera Hadapan 50MP f/2.4 |
| IP64 | IP69K | IP69K |
| Tiada bicu audio | Tiada bicu audio | Tiada bicu audio |
| Audio Stereo | Audio Stereo | Audio Stereo |
| 5200 mAh Berwayar 33W | 7000 mAh Berwayar 80W | 7000 mAh Berwayar 80W |
| Nothing OS 4.1, Android 16 Kemaskini 3+6 Tahun | MagicOS 10, Android 16 Kemaskini 6+6 Tahun | Realme UI 7.0, Android 16 Kemaskini 4+6 Tahun |
| Dilancarkan September 2026 | Dilancarkan April 2026 | Dilancarkan April 2026 |
| RM 1599 (8/128GB) | RM 2599 (12/512GB) | RM 2,399 (12/512GB) |
DALAM KOTAK
Berikut ialah apa yang diterima dalam kotak dengan pembelian.
- 1x Nothing Phone (4b)
- 1x Kabel pengecas USB-C ke USB-C.
- 1x Manual.
- 1x Pin SIM.
KESIMPULAN
Nothing Phone (4b) ialah peranti yang dijual pada harga sangat kompetitif untuk spesifikasinya. Lebih mampu milik berbanding Honor X9e Pro, Redmi Note 17 Pro Max dan Realme P4 Power 5G dengan cip yang kurang berkuasa. Kekuatan Phone (4b) terletak pada rekaannya yang masih unik, antaramuka sistem operasi yang tidak ditiru sesiapa dan kapasiti bateri yang besar.

Tetapi saiz storan 128GB membuatkan sukar untuk menyarankannya kerana ia terlalu kecil dan juga perlahan Ini tidak dibantu oleh prestasi kamera yang sekadar sederhana, dan glyph yang sekadar gimik.
Pro
- Rekaan unik Nothing masih menarik.
- Antaramuka NothingOS lain daripada yang lain.
- Kalis air IP64
- Sokongan 3 versi Android dan 6 tahun tampalan sekuriti.
- Harga kompetitif.
Kontra
- Glyph sekadar gimik.
- Memori 128GB kecil dan perlahan.
- Kamera kurang memuaskan.
