Qualcomm Snapdragon 8 Elite Gen 6 Dilancarkan – Cip 2nm Dengan Peningkatan Prestasi Sehingga 35%
Effi Saharudin
Qualcomm melancarkan Snapdragon 8 Elite Gen 6 pagi ini dengan ia cip yang bersaing secara terus dengan Dimensity 9600 dan Apple A20 Pro . Ia menggunakan teknologi 2nm yang meningkatkan prestasi serta pada waktu yang sama lebih cekap menggunakan kuasa berbanding Snapdragon 8 Elite Gen 5.

Snapdragon 8 Elite Gen 6 menggunakan konfigurasi teras 2X teras CPU Prime Oryon dengan kelajuan sehingga 5.0GHz dan 6X teras CPU Performance Oryon dengan kelajuan sehingga 4.0GHz. Ini dipadankan pula dengan GPU terkini Adreno yang mempunyai sokongan ray tracing serta pelbagai sistem Unreal Engine 5 seperti nanite dan lumen. Ini menjadikan Snapdragon 8 Elite Gen 6 cip mudah alih pertama mencapai kelajuan 5GHz di dunia.

NPU Qualcomm Hexagon baharu dipertingkatkan dengan penekanan kepada pemprosesan kecerdasan buatan (AI) terus pada peranti dan menyediakan pengguna untuk memasuki era AI berejen. Qualcomm mengatakan peranti dengan Snapdragon 8 Elite Gen 6 mengingati tabiat pengguna, gaya penulisan, dan gaya suntingan yang pernah dilakukan.
Dari segi prestasi CPU kini 10% lebih tinggi, GPU 35% lebih berkuasa, dan NPU pula 14% lebih baik. CPU juga 37% lebih jimat menggunakan kuasa, GPU 40% lebih cekap dan NPU pula mencatatkan kecekapan 20% lebih baik berbanding Snapdragon 8 Gen 5.

Kamera sehingga 108MP disokong atau trikamera 64MP tanpa masa pendam pada pengatup. ISP Qualcomm Spectra terkini ini membolehkan rakaman video sehingga 8K 30FPS. Rakaman video HDR,16-bit LOFIC, DCG+VS, dan DCG turut disokong.
Modem Qualcomm X105 5G yang digunakan menyokong kelajuan muat turun sehingga 14.8 GB. Sementara itu sokongan skrin 4K 120Hz atau QHD+ 240Hz, memori sehingga 24GB RAM LPDDR6, storan UFS 5.0, USB 3.1 Gen 2; audio XPAN dan pengecasan Qualcomm Quick Charge 5.

Cip ini disahkan akan digunakan oleh Honor, iQOO, Motorola, Nubia, OnePlus, OPPO, REDMI, RedMagic, Samsung, vivo, Xiaomi dan ZTE pada peranti mercu yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat.