Rekaan Cip Pemprosesan Untuk Konsol Sony PlayStation 6 Dan Project Helix Dilaporkan Sudah Siap
Nazrin
Sebelum ini terdapat beberapa laporan yang mengatakan bahawa konsol-konsol generasi akan datang, termasuklah Sony PlayStation 6 dan juga Project Helix oleh Microsoft akan diperkenalkan dalam beberapa tahun lagi, mungkin seawal 2028. Terkini, terdapat laporan yang mengatakan bahawa cip pemprosesan untuk kedua-dua konsol ini baru sahaja keluar dari fasa tape out, ataupun rekaan terakhir sebelum fasa ujian bermula.
Ini bermakna bahawa apa yang tinggal ialah untuk cip-cip pemprosesan ini dikilangkan, dan kemudiannya memasuki fasa ujian prestasi dan kestabilan untuk melihat prestasi sebenar cip pemprosesan yang direka. Apa yang menariknya, melalui butiran yang ditawarkan oleh Kepler L2, seorang peniris maklumat berkenaan teknologi cip pemprosesan seperti ini, prestasi TFLOPS (trillion floating point operations per second) untuk kedua-dua cip ini juga sudah diketahui.

Apa yang menarik ialah melihat kepada angka prestasi TFLOPS sahaja, Project Helix (56 TFLOPS) jauh meninggalkan konsol PlayStation 6 (40 TFLOPS), tetapi buat masa ini ia masih tidak diketahui lagi sama ada ini akan bermaksud prestasi gaming yang jauh lebih baik untuk konsol Microsoft tersebut.
Walaupun begitu, ini sedikit sebanyak juga mengesahkan bahawa kedua-dua konsol ini akan tampil dengan prestasi perkomputeran yang jauh lebih baik berbanding dengan konsol sebelumnya seperti Sony PlayStation 5 (10.26 TFLOPS), Sony PlayStation 5 Pro (18.05 TFLOPS) dan Microsoft Xbox Series X (12 TFLOPS).

Dari segi rekaan cip pemprosesan pula, seperti generasi-generasi sebelum ini, Sony bekerjasama dengan AMD untuk membangunkan sistem dalam cip (System on a Chip) khas yang merupakan gabungan CPU AMD ZEN 6 dan cip grafik AMD Radeon RDNA 5, yang mana kedua-duanya merupakan siri cip pemprosesan perkomputeran akan datang oleh AMD.
Untuk Project Helix pula, Microsoft sebelum ini telah mengumumkan bahawa konsol tersebut akan menjadi konsol hibrid dengan kemampuan sebuah PC Windows, jadi ia mungkin bermakna bahawa tidak banyak perubahan yang perlu dilakukan pada cip-cip pemprosesan dan grafik AMD, dan ini adalah sebab mengapa cip yang akan digunakan Project Helix mempunyai nilai TFLOPS yang jauh lebih tinggi.
Sumber: NeoGAF