Meta VR Glasses Dengan Skrin 5K micro-OLED dan Sokongan IMAX Enhanced Diumumkan
Effi Saharudin
Dunia set kepala kini sudah agak sendu dengan jualan kurang memberangsangkan menyebabkan pasukan Vision Pro di Apple telah dikecilkan dan Samsung Galaxy XR masih ditawarkan di pasaran tertentu sahaja. Sungguhpun begitu, Meta masih percaya wujud permintaan untuk set kepala XR dan melancarkan Meta VR Glasses.

Meta VR Glasses merealisasikan impian Mark Zuckerberg menghasilkan sebuah set kepala XR ringan dan kompak. Ia hanya seberat 100 gram – lima kali ganda lebih ringan berbanding Meta Quest 3 dan dilengkapi skrin 5K Infinite Display berteknologi micro-OLED lengkap dengan sokongan Dolby Vision. Ia adalah set kepala pertama melepas piawaian IMAX Enhanced bagi menonton kandungan IMAX pada nisbah yang betul.

Set kepala ini ringan kerana perkakasan pemprosesan, storan dan bateri tidak diletakkan pada set kepala. Sebaliknya ia disambung menggunakan kabel dengan pek disimpan dalam beg atau poket seluar. Pek mengandungi cip pemproses Snapdragon Reality Elite dengan bateri boleh bertahan selama tiga jam. Pengecasan semula menyokong kuasa 45W.

Pengguna boleh menonton kandungan filem 2D, 3D atau imersif pada skrin maya gergasi yang terimbuh dalam mod XR. Kandungan 3D daripada Disney+, Peacock, Paramount+ dan HBO Max boleh diakses menerusi set kepala ini. Kelak sokongan video acara sukan imersif 8K 180 dajrah juga boleh ditonton menerusi kerjasama ESPN.

Untuk produktiviti, beberapa skrin maya boleh diaktifkan dengan menaip dilakukan menerusi papan kekunci serta trakpad maya. Meta mengatakan sebanyak 75 permainan turut boleh dimainkan dan ratusan lagi boleh diakses menerusi XBOX Cloud Gaming.
Ciri paling menarik perhatian ialah Hologram Calling yang membolehkan perbualan dilakukan dengan pengguna Meta VR Glasses yang diwakili Hologram bertubuh penuh. Raut wajah dan pergerakan tangan avatar hologram akan mengikut gerak laku pemanggil sebenar. Ini mirip dengan Vision Pro Persona melakukan panggilan FaceTime secara 3D.
Meta VR Glasses akan mula dijual pada musim bunga 2027 dengan harga $1,299.99. (~RM 5,306) sepasang.