Amazfit T-Rex Dual Solar Dilancarkan Dengan Pengecasan Solar Dua Hala Dan Bateri 51 Hari
Amy Maizuraa
Jam tangan pintar terbaru Amazfit T-Rex Dual Solar kini diperkenalkan dengan rekaan lasak untuk aktiviti ekstrem. Ia hadir dengan teknologi Dual-Sided Solar Charging pertama di dunia bagi jam tangan pintar AMOLED.

Melaluinya, jam ini mampu menyerap tenaga cahaya matahari daripada dua bahagian iaitu skrin AMOLED di hadapan dan plat belakang kaca seramik. Dengan kelebihan ini, apabila dipakai di pergelangan tangan dan terdedah kepada cahaya matahari langsung selama tiga jam setiap hari, hayat bateri boleh meningkat sehingga 34 hari. Sementara itu, jika panel solar yang lebih besar di bahagian belakang didedahkan kepada cahaya matahari selama tiga jam setiap hari, tempoh penggunaan boleh dilanjutkan sehingga 51 hari.

Jam ini dibina dengan bezel titanium gred 5 dan skrin Sapphire Crystal, serta disahkan melalui persijilan tentera yang membolehkannya bertahan dalam suhu ekstrem mencapai -30°C. Selain itu, ia hadir dengan pelbagai ciri dan fungsi yang memudahkan aktiviti luar termasuk navigasi penuh tanpa memerlukan telefon melalui peta berwarna tersedia. Laluan boleh dirancang terus dari jam dengan arahan perjalanan langkah demi langkah serta fungsi Auto-Rerouting.

Jam tangan ini kalis air sehingga 100 meter dengan pengesanan automatik ketika menyelam. Pada masa yang sama, ia menyokong lebih daripada 180 mod sukan dan boleh dihubungkan dengan Strava, TrainingPeaks serta peranti tambahan seperti sensor denyut jantung atau alat pengesan larian khas. Selain itu, ia dilengkapi ciri survival seperti lampu suluh terbina dalam dengan mod putih dan merah, isyarat SOS, barometer untuk amaran ribut, serta amaran kecemasan.

Amazfit T-Rex Dual Solar ditawarkan dalam pilihan warna Basalt Black dengan tali silikon dan dijual pada harga $650 (~RM2,652) Setakat ini, tiada maklumat mengenai jualan di Malaysia.
Sumber – Amazfit T-Rex Dual Solar Smartwatch