MyZakat 4.0 Diumumkan Dengan Antaramuka Serta Fungsi Lebih Mesra Pengguna
Amy Maizuraa
MyZakat 4.0 diperkenalkan sebagai platform zakat utama versi terbaharu di Malaysia. Ia hadir dengan pembaharuan mesra pengguna yang menjadikan pengalaman menunaikan zakat lebih mudah serta relevan dengan keperluan masyarakat moden.

MyZakat 4.0 kini bukan sekadar platform pembayaran zakat. Peranannya diperluaskan dengan fungsi tambahan yang merangkumi urusan ibadah lain seperti wakaf dan sumbangan amal harian. Semua kemudahan ini dihimpunkan dalam satu aplikasi bagi memudahkan pengguna menunaikan kewajipan serta memperluaskan manfaat kepada masyarakat secara menyeluruh.

Antaramuka MyZakat 4.0 diperbaharui dengan reka bentuk yang lebih kemas dan mudah digunakan. Aplikasi ini turut menyediakan papan pemuka dengan paparan graf masa nyata serta pilihan tema mengikut cita rasa pengguna. Selain itu, sokongan dwibahasa disediakan bagi memastikan MyZakat 4.0 mudah diakses oleh pelbagai lapisan umur dan golongan masyarakat.

MyZakat 4.0 bukan sahaja hadir dengan antaramuka baharu, malah turut dilengkapi pelbagai kemudahan untuk meningkatkan pengalaman pengguna. Pendaftaran akaun kini boleh dilakukan terus dalam aplikasi tanpa perlu melalui Zakat2u. Bayaran zakat pula lebih ringkas dengan semakan transaksi yang mudah serta rekod rasmi melalui MyResit.
Selain itu, modul MyAsnaf membolehkan pengguna mengikuti agihan zakat kepada penerima. Fungsi MyWakaf pula memudahkan sumbangan wakaf terus kepada projek yang dijalankan. MyAmal hadir sebagai kemudahan ibadah harian. Kesemua modul ini menjadikan MyZakat 4.0 lebih praktikal dan relevan dengan keperluan masyarakat moden.
Sumber – Pusat Pungutan Zakat-MAIWP