Singapura Kenakan Denda Terhadap Penumpang Bas Yang Memainkan Lagu Dengan Kuat
Amy Maizuraa
Pernah berdepan dengan penumpang yang memainkan lagu terlalu kuat dalam bas? Di Singapura, perbuatan ini kini dianggap sebagai kesalahan undang‑undang. Pihak berkuasa menegaskan bahawa muzik atau audio yang dimainkan dengan kuat bukan sahaja mengganggu ketenteraman penumpang lain malah merosakkan suasana perjalanan secara keseluruhan.

Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga S$500 (~RM1,592). Langkah ini sejajar dengan usaha kerajaan memastikan pengangkutan awam sentiasa tenang dan selamat dengan penumpang yang berdisiplin. Ia juga mencerminkan komitmen serius pihak berkuasa Singapura dalam meningkatkan disiplin penggunaan bas awam.
Tanggungjawab penguatkuasaan ini diberikan kepada pegawai bertugas seperti pemeriksa tiket dan kakitangan terminal. Pemandu bas pula menumpukan perhatian pada keselamatan operasi namun masih berhak menegur penumpang yang berkelakuan tidak wajar.

Selain memainkan lagu, kesalahan ringan seperti meletakkan kaki di atas kerusi, makan, minum atau membuang sampah boleh dikenakan denda sehingga S$500 (~RM1,592). Bagi kesalahan yang lebih serius sehinggakan boleh menimbulkan halangan atau membahayakan penumpang lain, dendanya boleh mencecah S$5,000 (~RM15,926).
Trend yang sama ini turut dilakukan di bandar-bandar seperti Kraków di Poland dan United Kingdom yang telah melaksanakan peraturan serupa bagi mengekang gangguan bunyi serta tingkah laku anti sosial dalam sistem pengangkutan awam.
Sumber – BBC