Set Lego Dragon Ball: Shenron & Goku Dilancarkan – Berharga RM599.90
Amy Maizuraa
Lego memperkenalkan set Lego Icons Dragon Ball Shenron & Goku (11390) yang menandakan kemasukan rasmi mereka ke dunia anime. Buat pertama kali, Lego Group bekerjasama dengan Toei Animation bagi membawa dunia fiksyen Dragon Ball ciptaan Akira Toriyama ke dalam bentuk binaan Lego yang penuh nostalgia.

Set Lego ini menggambarkan adegan terkenal daripada siri Dragon Ball. Watak utama, Goku kecil, menaiki awan ajaib bernama Kintoun (awan kuning yang boleh terbang). Pada masa yang sama, naga besar bernama Shenron muncul apabila tujuh biji Dragon Ball dikumpulkan.

Dalam cerita asal, Shenron ialah naga legenda yang mampu mengabulkan permintaan. Set ini membolehkan peminat membina semula adegan ikonik tersebut dalam bentuk Lego dengan Goku kecil di atas awan terbang Kintoun dan Shenron yang muncul daripada tujuh bola ajaib Dragon Ball.

Set ini terdiri daripada 1,764 keping dan apabila siap ianya berukuran 32cm tinggi, 24cm panjang serta 26cm lebar. Ia bukan sekadar koleksi hiasan, tetapi sebuah set yang memperlihatkan gabungan kreativiti Lego dengan unsur dunia fiksyen anime. Ini merupakan kali pertama kerjasama untuk menghasilkan set ini dan di Malaysia ia dijual pada harga RM599 dengan jualan bermula pada 4 November nanti.

Melalui kerjasama ini, Lego turut mengesahkan akan meneruskan usaha menghasilkan set Dragon Ball dengan lebih banyak lagi pada tahun 2027 dan seterusnya.
Sumber: LEGO.com